MAHU memberi peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menjual sambalnya.
MAHU memberi peluang perniagaan kepada mereka yang berminat menjual sambalnya.
Ridzuan Abdul Rahman


DIAKUI namanya cukup popular dalam kalangan semua golongan peminatnya. Tidak kira kecil, muda mahupun yang sudah berusia.

Di mata mereka, dengan namanya yang sangat dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan penerbit, figura 'berbisa' berusia 53 tahun ini dianggap hidup dalam limpahan kemewahan.

Bagaimanapun, seperti orang lain, Awie memberitahu kehidupannya juga terjejas pada era pandemik Covid-19 ini apabila semua aktiviti persembahan seni terutama nyanyian dihentikan.

Sebagai jalan selamat dia mengambil langkah keluar dari zon selesanya dalam bidang seni dengan menceburi cabang perniagaan menerusi produk sambal jenama R-WE.

"Covid-19 memang buat semua orang tertekan. Tidak terkecuali saya dan Amir Shah Daud, penganjur konsert Apologia Search & Awie serta Projek Bikin Wilayah 2021 apabila konsert berskala besar ini terpaksa ditangguhkan.

"Apabila projek konsert tak jadi, kami terfikir apa nak buat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama. Hidup nak kena teruskan kerana saya banyak tanggungan.

"Begitu juga dia (Amir). Akhirnya datanglah idea daripada Amir untuk kami sama-sama terbabit dalam perniagaan ini. Dia tanya saya sama ada berminat nak sertainya, tapi saya cakap terus tiada ilmu dalam bisnes makanan," katanya.

Namun, penyanyi kumpulan Wings ini menunjukkan kesungguhannya apabila sanggup belajar selok-belok berkenaan bisnes secara mendalam.

"Amir memang terbabit dalam bidang makanan dan ada kilang. Malah, ia adalah bisnes keluarga dan di sekelilingnya, dia dibantu saudara-mara yang berkerjaya profesional seperti doktor serta peguam.

"Jadi saya yakin dengan pembabitan mereka. Bersama mereka, saya duduk sekali fikir bagaimana nak selesaikan peringkat pertama hingga peringkat ketiga.

"Alhamdulillah, saya bersyukur jumpa pasukan yang betul. Kalau saya melangkah seorang diri, pasti tak tahu nak buat apa. Untuk keluarkan produk ini, saya nak kena jumpa pihak kilang dan sebagainya. Tapi untuk proses itu saya hanya jumpa Amir," katanya.

Menerusi projek yang dirancang sejak November tahun lalu, Awie kini sudah mengeluarkan empat variasi sambal iaitu Sambal Merah, Sambal Ikan Sepat Masin, Sambal Ikan Kembung Masin dan Sambal Paru.

Dia juga turut mengeluarkan produk Kambing Perap dan Ayam Perap.

"Syukur alhamdulillah, sambal ini dihasilkan daripada cita rasa saya dan rakan sepasukan. Hampir beberapa bulan juga, kami buat proses 'try and error' sehinggalah semua berpuas hati.

"Ikutkan perancangan awal saya nak keluarkan produk protein kerana sekarang dah kembali semula pergi gimnasium. Tambah lagi, Amir pun ada kilang proses protein.

"Ada dua lagi pengusaha yang datang jumpa saya untuk rancang buat protein juga, tapi saya kata tunggu kerana nak cuba yang ini dulu," katanya.

Menurutnya, dia tidak biasa berniaga dan selepas meneliti pasaran mendapati perniagaan makanan adalah paling bagus semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cuba bisnes sambal untuk tampung kehidupan terjejas akibat Covid-19
Cuba bisnes sambal untuk tampung kehidupan terjejas akibat Covid-19

"Ada sebab saya pilih sambal. Puncanya apabila saya mula memasak selepas keruntuhan rumah tangga yang kedua. Apabila jadi begitu, saya kena siapkan makan untuk anak.

"Saya bangun pagi dan bagi mereka sarapan, urus pergi sekolah. Balik tengah hari pun, mereka nak makan juga. Saya fikir apa cara nak buat, kerana saya tak suka sangat nak bagi pembantu rumah yang masak.

"Saya kurang senang air tangan pembantu, untuk bagi anak makan. Jadi, saya belajar masak sambal kerana saya memang suka sambal walaupun kurang makan nasi," katanya.

Disebabkan suka sambal, Awie mempelajarinya dan seterusnya jatuh cinta dengan menu ringkas berkenaan.

"Alhamdulillah, produk sambal ini dilancarkan secara rasminya pada 31 Mac lalu. Bahkan, untuk pengeluaran awal sebanyak 3,000 botol dah habis biarpun belum dipromosikan secara meluas," katanya.

Tak ganggu rezeki orang lain

Apa-apa pun, Awie menjelaskan pembabitannya dalam perniagaan bukan kerana mahu mengganggu rezeki peniaga lain yang turut berhadapan tempias Covid-19.

"Bumi Allah ini sangat luas. Perniagaan itu juga cabangnya luas. Saya pun manusia dan kalau nak harapkan menyanyi sahaja macam mana kami nak teruskan hidup?

"Apatah lagi, sekarang masih ada kekangan ditetapkan kerajaan. Aktiviti nyanyian begitu terhad dan takkan kami perlu terus 'mereput' di rumah. Nak menyanyi secara dalam talian 'online' pula, rasa macam tak sesuai.

"Jadi, saya berniaga dan rezeki yang diperoleh ini dapat juga dikongsi beramai-ramai. Itulah sebabnya juga saya wujudkan sistem stokis.

"Selain berniaga sendiri, pada masa sama saya bagi kerja pada orang lain dan sama-sama kita kumpul kekayaan. Mereka yang berminat boleh melayari laman web www.rwefood.my," katanya.

Bercerita perkembangan karier seninya, Awie berkata filem kedua terbitan Rumah Produksi Merah berjudul Sue-On, Hantu Korea Sesat Di Taiping akan ditayangkan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Selain itu, Wings juga dalam proses buat album baharu. Tak dinafikan, prosesnya sudah lama tapi perlahan kerana PKP. Kalau siap pun, tak pasti juga di mana nak dipasarkan dalam keadaan sekarang.

"Ditambah lagi, sebab utamanya kami tetap gunakan format fizikal, cakera padat (CD). Ia kerana Wings nak keluarkan CD juga kerana dengar single itu rasa lagi 'best' berbanding jika muat turun atau strim di aplikasi digital saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:00 AM