ROSNIZAM (kiri) dan Roazian Md Noor memulakan perniagaan kambing perap ketika PKP. FOTO Bernama
ROSNIZAM (kiri) dan Roazian Md Noor memulakan perniagaan kambing perap ketika PKP. FOTO Bernama
BERNAMA

SUAMI isteri di Kelapa Batas, Rosnizam Ishak dan Roazian Md Noor sama sekali tidak menyangka pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa mereka menutup kedai makan yang diusahakan sekian lama, sebaliknya membuka jalan baharu untuk mereka berkecimpung dalam perniagaan kambing perap.

Malah, mereka yang masing-masing berusia 43 tahun dari Bertam ini, kini nampak cukup selesa menggunakan media sosial dalam meningkatkan kemajuan perniagaan mereka.

Pada mulanya, mereka mengaku bimbang kerana hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan PKP, dan mereka cukup sedar bahawa ikhtiar perlu dicari bagi memanfaatkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) serta Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disalurkan kerajaan berjumlah RM4,000, supaya ia tidak habis begitu sahaja.

"Memang pendapatan terjejas sangat-sangatlah, masa tu Kak Yan (Roazian) fikir apa nak dibuat, nak tambah pendapatan. Masa mula-mula PKP, saya berniaga macam-macam dari rumah termasuk nasi lemak dan suami sebagai 'runner' menghantar ke rumah pelanggan, tapi masa ni (PKP) rasa ramai sangat persaingan berniaga nasi, terutama nasi lemak.

"Kami duduk berbincang semula selepas dapat duit GKP dan BPN itu, kalau tak buat apa-apa (berniaga) mesti habis macam tu saja (duit).. jadi kami fikir apa salahnya cuba buat kambing perap, lagipun senang nak dapat bahan mentah serta tidak renyah, manakala resipi pula cuba 'trial and error' sehingga dapat yang betul-betul memenuhi selera," katanya ketika ditemui Bernama.

Roazian berkata, bermula dengan lima kilogram daging kambing sahaja, mereka sama sekali tidak menjangka kini mereka mampu menjual sehingga 50 kilogram sehari, malah apa yang lebih menggembirakan ialah apabila mereka dapat berkongsi rezeki dengan orang lain, yang turut terjejas pendapatan berikutan penularan Covid-19.

Katanya, dia mengambil dua pekerja untuk membantu membuat perapan, dan aktiviti jualan pula dilakukan menerusi platform laman sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi WhatsApp.

"Di sinilah timbul normal baharu, maksudnya orang nak beli tapi tak boleh keluar, jadi kami sediakan segalanya, iaitu platform untuk orang beli secara dalam talian, dan penghantaran terus ke rumah pelanggan, tanpa perlu mereka keluar rumah," katanya.

"Kami juga buka jualan kepada ejen untuk bersama-sama menambah pendapatan. Ramai juga pemandu limosin lapangan terbang turut menjadi ejen atau 'runner' bagi menghantar kambing perap kami untuk mencari rezeki, memandangkan ketika ini sumber pendapatan mereka turut terjejas susulan ketiadaan pelancong," tambahnya.

Dia juga tidak menyangka dengan menjalankan perniagaan dari rumah, mereka boleh mendapat untung yang hampir sama dengan membuka kedai makan seperti sebelum ini, malah mereka lebih kreatif, tenang dan boleh menjaga anak sendiri tanpa perlu menghantar ke rumah pengasuh atau taska.

Sementara itu, Rosnizam berkata, perniagaan kambing perap yang mereka jalankan itu adalah antara hikmah PKP yang dirasai bersama isterinya apabila berjaya mencipta satu peluang perniagaan baharu.

"Memang langsung tak pernah terfikir nak berniaga dari rumah sebelum ini kerana kami selesa mengusahakan kedai makan, tapi Alhamdulillah nampaknya kambing perap mendapat sambutan. Malah, dengan modal RM4,000 yang diberikan kerajaan, kami dapat menjana pendapatan serta membantu orang lain sama," katanya.

Menurutnya berikutan sambutan yang menggalakkan, dia bercadang untuk meneruskan perniagaan kambing perap itu pada masa hadapan di samping menjalankan kedai makan.

"Bukan tamak, tapi sebenarnya niat kami untuk sama-sama membantu ejen terbabit dalam perniagaan kambing perap ini.. ejen dah ada pasaran mereka sendiri, jadi apa salahnya kita teruskan supaya sama-sama menambah pendapatan," katanya.

Kambing, perap pasangan suami isteri itu dijual dengan harga RM55 sekilogram dan RM33 untuk 600 gram.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 8:43 AM