Noh Omar menyerahkan sumbangan Bank Rakyat kepada usahawan yang terjejas akibat fenomena kepala air di Masjid Jamek Badlishah, di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noh Omar menyerahkan sumbangan Bank Rakyat kepada usahawan yang terjejas akibat fenomena kepala air di Masjid Jamek Badlishah, di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mengeluarkan pinjaman mudah kepada 192,541 usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata kemudahan pinjaman sama turut diberi kepada peniaga kecil yang tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

"Kita akan mudahkan pinjaman kepada usahawan terbabit dalam tempoh kecemasan ini, jadi saya minta kita tidak perlu semak laporan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

"Begitu juga dengan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), kita hanya akan semak tarikh pinjaman lama mereka yang direkodkan sama ada sebelum atau selepas pandemik. Sekiranya selepas pandemik maka kita akan mudahkan pemberian pinjaman untuk usahawan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Usahawan dan Keluarga Terjejas Banjir, di Masjid Jamek Badlishah di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar.

Mengulas lanjut, Noh berkata, pinjaman mudah itu akan diselaras oleh 11 agensi di bawah kementerian itu berdasarkan jumlah pinjaman yang dipohon peniaga.

"Ini kerana setiap agensi MEDAC mempunyai jumlah pinjaman dibenarkan yang berbeza. Contohnya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) maksimum boleh dipinjam RM50,000; Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dengan nilai pinjaman bermula RM50,000 dan maksimum RM100,000.

"Bagi jumlah lebih besar kita ada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang boleh beri pinjaman bermula RM100,000 hingga RM10 juta dan SME Bank boleh pinjam lebih RM10 juta," katanya.

Terdahulu beliau mengumumkan seramai 168 usahawan di Yan yang terjejas akibat fenomena kepala air pada 18 Ogos lalu, menerima sumbangan RM168,000 melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat.

Katanya, RM40,000 disumbang kepada 200 keluarga yang terjejas akibat bencana berkenaan, manakala RM25,000 lagi kepada lima sekolah yang mengalami kerosakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:43 PM