Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mahu setiap agensinya mempermudahkan proses permohonan pinjaman usahawan khususnya yang dilahirkan agensi di bawah kementerian itu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, usahawan yang sudah pun berjaya tidak sepatutnya dilayan seperti usahawan baru bermula.

Katanya, ini termasuk sehingga ada yang terpaksa mengemukakan pelbagai dokumen merumitkan proses mendapat pembiayaan.

NOH (dua dari kiri) melawat gerai pameran ketika majlis pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang HUN 2022. FOTO Hairul Anuar Rahim
NOH (dua dari kiri) melawat gerai pameran ketika majlis pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang HUN 2022. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Perkara sedemikian adalah janggal kerana ia seperti tidak mengiktiraf usahawan yang dibentuk oleh agensi di bawah Medac.

"(Contohnya) Kalau usahawan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan disahkan sebagai berjaya, dia nak pembiayaan lebih RM30,000, AIM tak dapat bagi lebih daripada itu dan dia kena mohon dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

"Tekun Nasional pula apabila tengok sokongan AIM, tak perlulah minta dokumen macam-macam, begitu juga apabila usahawan TEKUN nak pinjam sampai sejuta atau dua juta, Tekun Nasional kena buat pengesahan dan syor kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)pula dan PUNB kena permudahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan aplikasi dan laman sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), di sini, malam tadi.

Hadir sama Presiden DPUKM merangkap Pengerusi HUN 2022, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor.

Noh turut memberikan contoh lain iaitu usahawan yang dilatih oleh Institut Keusahawanan Negara (Inskens) dan menegaskan sijil dikeluarkan institut itu laku dan sah.

"Jadi, agensi di bawah Medac apabila tengok pemohon ada sijil Inskens, berilah pinjaman. Jangan tanya banyak kerana mereka ini dilatih oleh kita," katanya.

Noh turut menzahirkan kekagumannya terhadap usahawan khususnya dari generasi muda yang mampu berkembang dengan modal sendiri tanpa sebarang bantuan pembiayaan agensi kerajaan.

Katanya, sekiranya usahawan berkenaan memerlukan suntikan modal melalui pinjaman, proses permohonan oleh mereka juga mesti dipermudahkan.

"Ramai yang bermula dengan modal sendiri, dia naik dari bawah, berniaga dari rumah dan akhirnya boleh buka kilang.

"Kalau usahawan seperti ini sudah membuktikan tanpa pinjaman pun mereka mampu untuk maju, apa salahnya agensi di bawah Medac beri bantuan untuk pastikan mereka terus maju ke hadapan dan yakinlah bahawa mereka adalah usahawan yang tulen," katanya.

Sementara itu, katanya, HUN 2022 bakal berlangsung selama lima hari dari 24 hingga 28 Mac di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur dan bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 1:19 AM