GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memberikan moratorium kepada usahawan mikro dan informal yang mendapat pembiayaan daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ini berikutan bencana banjir yang melanda negara yang mengakibatkan banyak perniagaan usahawan terkesan.

Katanya, untuk permulaan, moratorium akan diberikan kepada golongan usahawan mikro dan informal membabitkan pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Tekun Nasional memberi moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro dan informal yang terkesan dengan banjir.

"Moratorium ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 usahawan Tekun dan bermula serta-merta.

"AIM memberi moratorium secara automatik kepada Sahabat AIM bermula 20 Disember 2021 sehingga 31 Januari 2022.

"Sahabat AIM yang terkesan boleh membuat permohonan untuk menangguh bayar balik pinjaman sebanyak empat kali dengan maksimum tempoh penangguhan, selama setahun, dan membuat penjadualan balik pinjaman sehingga tiga tahun.

"Sahabat AIM yang terbabit dengan banjir juga akan menerima bantuan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS).

"Bantuan diberikan kepada rumah yang terbabit banjir sebanyak RM300, dan bantuan juga diberikan untuk projek yang terbabit banjir sebanyak RM300.

"Sekiranya terbabit dalam keduanya, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM600," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bantuan daripada AIM ini akan memberi manfaat kepada 9,200 orang Sahabat AIM.

"Semoga sedikit demi sedikit bantuan ini dapat menjadi permulaan utk menstabilkan semula aturan perniagaan dan kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:24 PM