Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen. - FOTO Bernama
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen. - FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyasarkan kadar sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat secara purata 1.0 hingga 1.5 peratus setahun.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata sasaran itu ditetapkan berlandaskan situasi terkini fasa pemulihan yang berlaku di seluruh negara iaitu Fasa Tiga dan Empat.

"Ini akan merancakkan kembali operasi perusahaan khususnya bagi PMKS yang terjejas dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi PMKS," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sumbangan PMKS kepada KDNK ditetapkan sebanyak 45 peratus pada 2025.

Sumbangan PMKS kepada KDNK 2020 adalah 38.2 peratus.

Noh juga berkata sumbangan eksport PMKS dijangka meningkat pada kadar purata 2.0 hingga 2.5 peratus setiap tahun.

Berdasarkan RMK12, PMKS disasarkan menyumbang 25 peratus kepada jumlah eksport negara pada 2025.

"Sumbangan PMKS kepada jumlah eksport negara pada 2020 adalah 13.5 peratus," katanya.

Beliau berkata Medac melalui agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (Insken), Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), UDA Holdings dan SME Bank melaksanakan pelbagai jenis program berbentuk pembiayaan, bimbingan dan latihan, digitalisasi dan akses pasaran untuk membantu usahawan.

Antara program yang disediakan ialah Program Bimbingan Jualan Dalam Talian oleh Insken.

Bagi 2020 dan 2021, sejumlah RM1.7 juta telah dibelanjakan untuk program berkenaan dengan melibatkan 2,100 peserta.

Di bawah Pernas pula, program Pybli mempunyai 478 usahawan yang telah berdaftar dan mempunyai jumlah unit simpanan stok (SKU) sebanyak 696 produk.

"Memandangkan semua agensi mempunyai program tersendiri, maka kementerian sedang dalam perancangan untuk menggabungkan semua platform tersebut menjadi satu platform yang dikenali sebagai Medac Mall untuk membantu usahawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 7:34 PM