PESERTA melepaskan kakaktua.
PESERTA melepaskan kakaktua.
Hidayatidayu Razali


Burung kakaktua bukan sahaja unik dan cerdik, malah haiwan itu juga sangat jinak terutama dengan pemilik.

Selain terkenal kerana warna yang cantik dan boleh 'bercakap' selepas dididik tuannya, ia juga mudah mesra dengan orang yang mendekatinya.

Namun, di sebalik kejinakan itu, burung berkenaan gemar terbang bebas.

Justeru, bagi memberi kebebasan kepada burung itu, Kelab Komuniti Terbang Bebas Kelantan atau Kelantan Free Fly Community (KFFC) menganjurkan program Burung Kakaktua Terbang Bebas bertemakan tradisional di Kampung Kota Seribong, Kota Bharu, baru-baru ini.

Program berkenaan mengumpulkan 15 kakaktua daripada 10 pemilik dari seluruh negeri itu.

Presidennya, Tuan Mohd Azrin Tuan Mohd Arifin, 44, berkata, program itu juga untuk mengeratkan hubungan antara pemilik kakaktua selain dapat berkongsi pendapat berkaitan penjagaan haiwan berkenaan.

Kata Tuan Mohd Azrin, antara spesies kakaktua yang dibawa menyertai program itu seperti love bird, greencheek, sun conure dan macaw.

Katanya, aktiviti itu diadakan bagi memberi kebebasan kepada kakaktua untuk terbang bebas di udara.

"Selama ini, burung peliharaan ini berada dalam sangkar dan hari ini, pemiliknya mahu memberi kebebasan seketika untuk membolehkan ia terbang bebas di sekitar kawasan ini sebelum kembali semula.

"Kakaktua begitu cerdik, ia akan kembali mencari tuannya dan kemudian baru dimasukkan dalam sangkar masing-masing," katanya.

Menurut Tuan Mohd Azrin lagi, sebagai pemilik, mereka tidak risau melepaskan kakaktua masing-masing di padang itu kerana haiwan berkenaan tidak akan lari, malah mencari tuannya semula.

KAKAKTUA baka macau blue gold.
KAKAKTUA baka macau blue gold.

TUAN Mohd Azrin bersama kakaktua baka macaw blue gold yang bernama Bonny.
TUAN Mohd Azrin bersama kakaktua baka macaw blue gold yang bernama Bonny.

PEMILIK bersama kakaktua masing-masing.
PEMILIK bersama kakaktua masing-masing.

Katanya, dia sendiri memiliki lima kakaktua daripada baka macaw blue gold yang diberi nama Bonny dan greencheek sejak 10 tahun lalu.

"Untuk memelihara burung ini, pemilik perlu mempunyai lesen dan permit tertentu daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Jika tidak ada lesen, ia salah di sisi undang-undang dan semua pemilik burung yang hadir pada hari ini juga mempunyai lesen.

"Ia bukan burung biasa, harganya agak tinggi di pasaran dan kebanyakan peminat kakaktua sanggup berhabis wang ringgit demi mendapatkan burung idaman masing-masing," katanya.

Sementara itu, Muhamad Fariz Zainuddin, 32, berkata, dia memelihara kakaktua sejak lebih 15 tahun lalu kerana tertarik dengan keletah haiwan itu yang jinak dan cerdik.

Katanya, burung itu juga istimewa kerana ia boleh bercakap beberapa patah perkataan dengan suara seperti manusia jika diajar dari kecil.

"Sebelum ini saya memelihara lima kakaktua, namun sejak dua tahun lalu hanya seekor yang dipelihara iaitu daripada spesies macaw blue gold kerana kekangan masa berikutan tuntutan kerja sebagai pelukis pelan.

"Ia ditatang bagaikan minyak yang penuh dan dijaga rapi, lengkap dengan pemberian makanan tambahan kerana harganya ketika dibeli dulu agak tinggi iaitu RM8,500.

"Jika mempunyai urusan di luar Kelantan sekali pun, burung itu juga akan dibawa bersama,' katanya.

Bagi memastikan kakaktua kesayangannya kekal sihat, Muhamad Fariz memperuntukkan RM150 hingga RM250 sebulan untuk pembelian makanan dan vitamin.

"Pemberian makanan tambahan seperti vitamin diutamakan kerana saya mahu ia sentiasa sihat dan aktif.

"Meskipun ia hanya seekor kakaktua, namun bagi peminat burung seperti saya, ia bagaikan teman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 7:00 AM