Nurul Husna Mahmud
Nurul_husna@hmetro.com.my

Melihat ragam salah seekor burung kakak tua jenis baka Blue and Gold Macaw 'baring' apabila dibelai manja atas riba Reza Arshad iaitu ahli komuniti Free Fly Parrots Malaysia nyata mengundang rasa lucu penulis.

Sebelum ini penulis hanya pernah menyaksikan burung berkenaan bertenggek pada batang kayu khas ataupun bahu penjinaknya sahaja. Tidak sangka burung itu pandai dalam 'helah' lain.

Tidak cukup dengan aksi 'membelai,' selain Reza, tujuh ahli komuniti yang turun termasuk jurulatih burung, Syimir Ahmad Safawi, 29, turut menunjukkan aksi menjinakkan burung terbabit menerusi demonstrasi terbang bebas atau 'free fly.'

Dalam rutin 'free fly' lapan burung kakak tua dilepaskan dari lereng bukit taman rekreasi berhampiran sebelum kembali bertenggek di bahu atau tangan tuan masing-masing.

Menurut Syimir, kelebihan dimiliki haiwan berkenaan bukan sahaja mempunyai 'kebijaksanaan' dan setia membuatkan ia menjadi pilihan peminat penjinak unggas untuk dipelihara.

AKSI kakak tua milik Syimir yang diberi nama Pukat bertenggek di bahu sebaik dipanggil.
AKSI kakak tua milik Syimir yang diberi nama Pukat bertenggek di bahu sebaik dipanggil.

"Sejak 2012 saya membela burung dan bermula dengan burung bersaiz kecil sehingga saiz besar iaitu Blue Gold Macaw sekarang ini.

"Tetapi, untuk sampai tahap ini yang mana burung tidak hilang dan terbang kembali kepada saya, dua tahun lalu baru sahaja saya temui caranya selepas melihat video Youtube pelatih atau penjinak burung di Amerika Syarikat.

"Saya tiru cara mereka latih dan praktis dengan burung peliharaan sehinggalah burung saya boleh buat pelbagai helah termasuk 'free fly.'

"Burung ini antara haiwan bijak dan mempunyai 'naluri' kuat. Jadi, untuk mengajar ia supaya patuh arahan dan belajar isyarat pelatih, makanan adalah umpannya

"Melatih burung ini juga saya mula selangkah demi selangkah. Bermula dengan latihan panggil nama sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari, kemudian latihan 'recalled' (dari tempat tenggek ke tuan), kemudian 'recalled' berhalangan dan barulah dibawa latih terbang ke luar," katanya.

AKSI tersendiri ahli Free Fly Parrots Malaysia, Abdul Wafi Hassan ketika melatih dua burung peliharaannya.
AKSI tersendiri ahli Free Fly Parrots Malaysia, Abdul Wafi Hassan ketika melatih dua burung peliharaannya.

Malah, dia mengakui burung peliharaanya sudah dilatih seawal empat bulan dan hanya mengambil tempoh sebulan sudah boleh dibawa terbang ke luar.

Kata Syimir, ada antara ahli komuniti sudah melatih seawal dua bulan lagi dan kesediaan untuk burung terbang ke luar seperti 'free fall' dilakukannya bersama kawan itu mengikut jenis dan tahap kebijaksanaan burung.

Cabaran buat pemilik, kata Syimir, bunyi yang bising selain risiko untuk hilang antara masalah sering dihadapi komuniti terbabit.

"Sudah menjadi pemilik kena faham bahasa tubuh burung kerana dengan itu baru boleh tangani setiap permasalahan baik sakit atau 'mood'nya.

"Burung kalau tidak cukup bermain dia akan stres dan biasanya akan mengeluarkan bunyi bising selain cabut bulu badan. Cabut bulu badan sendiri adalah kemuncak dan untuk rawat memerlukan tempoh panjang.

RAGAM kakak tua diberi
RAGAM kakak tua diberi

"Kalau bising pula bagi mereka yang tinggal di rumah bertingkat atau apartmen pasti timbul masalah dengan jiran.

"Sebaiknya latih atau 'bermain' sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari selain memberi makan yang mencukupi," katanya.

Malah, dia berharap ada tempat khusus dapat dijadikan kawasan latihan atau komuniti terbabit berkumpul untuk melatih burung masing-masing.

Burung berkenaan perlukan penjagaan rapi ketika kecil kerana mudah mati apabila kantung makanan tercedera selain rutin ubat cacing bagi setiap tiga hingga enam bulan bagi saiz burung dewasa boleh mencecah berat 900 gram hingga 1 kilogram.

Sementara itu, bagi Marsyidah Mizan, 31, pemilik baka African Green dinamakan Bailey berkata, minat itu didorong suaminya, Muhammad Shafri Chek Pee, 30.

SETIA apabila burung kakak tua yang terbang kembali ke tuan masing-masing.
SETIA apabila burung kakak tua yang terbang kembali ke tuan masing-masing.

"Minat ini baharu sahaja ada selepas suami terlebih dahulu bawa balik senyap-senyap tahun lalu. Mula-mula tidak tertarik, tetapi sebab tengok perangai burung ini beri reaksi setiap kali dipanggil dan diberi makan jadi seronok.

"Suami ajar saya beri makan supaya burung tidak agresif dan lama-kelamaan ada 'bonding' dan hadiah hari lahir saya suami hadiahkan Bailey.

"Burung agresif sebab takut dan tidak biasa, jadi rutin apabila beri makan dan belai selain dilatih, lama-kelamaan burung akan 'rapat' dan kenal.

"Orang kata kalau burung betina jinak dengan lelaki, tetapi pada saya bergantung bagaimana cara dijaga dan kena tahu 'mood' serta bahasa tubuh masing-masing," katanya.

Kata Marsyidah, bagi mereka minat untuk membela burung kakak tua, sebaiknya mula dengan saiz kecil supaya boleh pelajari ragam dan tabiat burung terutama sakit.

"Sebelum burung ini, kami sudah beli beberapa ekor dan mati sebabkan kantung makanan luka. Jadi, burung ini kalau saiz besar mahal dan kalau hilang juga rasa terkilan," katanya.

Mengakui rutin setiap hari diisi dengan burung apabila sebelum pergi kerja, dia akan pastikan burung peliharaannya bersama suami diberi makan selain dibiar bertenggek di depan jendela rumah iaitu lokasi kegemaran haiwannya itu.

Namun katanya, bagi pemilik burung kecil perlu juga lebih hati-hati apabila membawa burung terbang ke luar mengelak diserang burung lebih besar seperti gagak dan helang.

Untuk permulaan bagi hobi memelihara burung kakak tua berkenaan dikatakan menelan kos tinggi bergantung kepada jenis baka dan saiznya. Jangkaan sekitar RM200 hingga RM15,000 selain permit permulaan RM1,000 dari pihak Perhilitan.

AKSI ahli komuniti Free Fly Parrot Malaysia mula melepaskan burung masing-masing.
AKSI ahli komuniti Free Fly Parrot Malaysia mula melepaskan burung masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 6:40 AM