X
TEMPAT artist berkerja...ACM Studio yang terletak di Taman Guru Desa Pahlawan, Kelantan.
TEMPAT artist berkerja...ACM Studio yang terletak di Taman Guru Desa Pahlawan, Kelantan.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MENGANGKAT tema topeng dalam karyanya, Anis Che Mat, 28, dilihat antara generasi pelapis di Malaysia yang memastikan karya di dalam seni itu tidak berakhir.

Menceritakan mengenai karya topeng, bagi pelukis itu ia sememangnya antara karya seni yang agak 'rumit' untuk dihasilkan kerana membabitkan pembentukan arca, fotografi dan kemudian, dilukis dalam bentuk lukisan timbul.

Anis berkata, dia berminat untuk mengangkat karya itu kerana ia adalah refleksi diri artis itu sendiri dan menterjemahkan dalam pelbagai maksud seperti isu alam semula jadi dan masyarakat.

Katanya, penggunaan topeng bermula daripada seni moden barat seperti Pablo Picasso dan George Braque. Manakala di Malaysia pula terdapat artis agung yang memperjuangkan seni itu seperti Abdul Latif Mohiddin, Awang Damid, Yusof Ghani dan Rosli Zakaria.

"Saya melihat penghasilan karya topeng ini sesuatu yang unik dan mengangkatnya dalam karya sejak 2017 kerana ia memerlukan saya untuk menghasilkan beberapa hasil seni lain sebelum dapat menyiapkan sebuah lukisan timbul.

"Antara proses penting yang perlu disiapkan adalah menghasilkan topeng dalam bentuk arca yang sudah semestinya perlu mempunyai maksud tersendiri," katanya.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu pernah menyertai Pameran Imago Mundi Italy di Galeri Itali berkata, di Malaysia terdapat peminat koleksi seni topeng.

"Meskipun tidak ramai tetapi ia masih ada kerana peminat seni ini dapat menilai sendiri cabaran artis untuk menghasilkan karya berkenaan.

BERSAMA Dekan FSSR pada majlis perasmian Pameran Dua Nusa di Rumah Seni Selangor (RUSSEL) 2019.
BERSAMA Dekan FSSR pada majlis perasmian Pameran Dua Nusa di Rumah Seni Selangor (RUSSEL) 2019.

"Malah, topeng itu sendiri mempunyai nilai sejarah tersendiri memandangkan ia sudah wujud berabad lamanya dan mempunyai pengaruh dalam sesuatu masyarakat," katanya.

Anis berkata, dia juga ketika ini dalam proses akhir untuk membuat pameran solo di Balai Seni Negara yang sepatutnya berlangsung pada tahun lalu terpaksa ditunda pada tahun ini sekiranya keadaan pandemik Covid-19 sudah terkawal.

Katanya, dia sudah menyiapkan 20 lukisan cat, 30 arca dan sebanyak 20 lukisan lakaran untuk dipersembahkan kepada peminat seni di negara ini.

KARYA bertajuk Self portrait menggunakan pencil warna atas kertas.
KARYA bertajuk Self portrait menggunakan pencil warna atas kertas.

"Dalam pameran ini, pengunjung dapat melihat pelbagai arca topeng yang saya dihasilkan dalam mengangkat pelbagai isu semasa termasuk pandemik Covid-19.

"Selain itu, pengunjung juga dapat mentafsirkan isu-isu semasa lain menerusi karya yang bakal dipersembahkan kelak," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam menghasilkan arca topeng, katanya, perkara itu memerlukan dia menilai isu semasa yang ingin diangkat terlebih dahulu.

"Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah arca topeng kerana ia bukan sekadar perlu tampak cantik dan unik, malah perlu mempunyai maksud yang boleh diterjemah individu yang melihatnya.

SENTUHAN terakhir untuk "series topeng" bagi pameran solo.
SENTUHAN terakhir untuk "series topeng" bagi pameran solo.

"Cantik dan unik tiada guna jika ia tidak mempunyai maksud kerana seperti yang dikatakan arca topeng ini mempunyai kaitan yang begitu kuat dengan sesebuah budaya dalam masyarakat. Jadi, ia perlu dihasilkan dengan berhati-hati," kata penerima Anugerah Utama Penang Art Open pada 2015 itu sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:40 AM