Skuad Khas Harian Metro

Putrajaya: Membungkus semula dalam pek kecil untuk memudahkan jualan dengan nilai lebih rendah.

Itu kemungkinan yang dijangka pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung rokok pek kecil lima batang dan 10 batang dikeluarkan kartel rokok seludup untuk pasaran negara ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, setakat ini belum ada rampasan besar-besaran membabitkan rokok seludup pek kecil, melainkan satu kes yang dirampas di Melaka namun tidak besar.

"Dalam rampasan di Melaka baru-baru ini, jumlahnya tidak banyak. Pek kecil bercampur dengan rokok dalam pembungkusan standard pek 20 batang.

"Standard pembungkusan rokok yang dibenarkan oleh kerajaan ialah 20 batang. Maka, budak tak mampu beli.

"Kerajaan juga tidak membenarkan jualan secara terbuka dan diletakkan dalam tin yang kemudian dijual batang. Itu penguatkuasaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

ABDUL Latif menunjukkan rokok seludup yang dipek kecil. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ABDUL Latif menunjukkan rokok seludup yang dipek kecil. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Beliau menghargai pendedahan Harian Metro semalam, berhubung modus operandi terbaharu kartel rokok seludup yang menyasarkan rokok murah lima batang sekotak untuk pasaran pelajar sekolah dan golongan B40.

Abdul Latif berkata, selain maklumat daripada masyarakat, pihak media juga memainkan peranan penting dalam usaha mencegah kegiatan penyeludupan dan berharap kerjasama daripada semua pihak.

"Kami akan buat siasatan lanjut untuk mengenal pasti dalang sindiket ini. Apapun, kegiatan haram ini perlu didedahkan dari semasa ke semasa untuk tujuan kesedaran kepada masyarakat.

"Sebab masih ramai lagi mak cik di kampung menjual rokok seludup di kedai mereka. Kita nak elakkan daripada mereka diambil tindakan yang tegas kerana penalti ke atas pesalah melakukan jenayah ini sangat tinggi," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kartel rokok seludup yang semakin agresif, mengeluar dan memasarkan rokok dalam pek lima batang pada harga rendah di bawah RM2 sekotak, malah pelanggannya adalah golongan remaja dan B40.

Difahamkan, rokok pek lima batang sekotak itu istimewa untuk pasaran remaja bawah umur yang baru berjinak dengan rokok dan masih mengharapkan duit saku daripada ibu bapa.

ABDUL Latif menunjukkan rokok seludup yang dipek kecil. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ABDUL Latif menunjukkan rokok seludup yang dipek kecil. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Berita berkaitan

Kartel jual 'Rokok Budak Sekolah' (Kiddie Pack) RM1.70 sekotak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 1:20 PM