Oleh Maiamalina Mohamed Amin


GERAK tangannya menghayun botol cat semburan bersahaja, tidak langsung kelihatan kekok bahkan percikan cat yang keluar, lancar menghias dinding.

Tiada imej dilakar terlebih dahulu pada ‘kanvas’ itu sebaliknya pelukis karya jalanan ini hanya menterjemahkan ilham segar daripada mindanya.

Itu kerja James Wilson, 26, anak muda kelahiran Victoria, Australia yang banyak menghabiskan masa mudanya dengan berkarya di sekitar Melbourne.

Jiwa seninya tidak melihat karya jalanan sebagai hiasan kotorkan dinding di tepi lorong sebaliknya sebagai seni kreatif yang mempunyai nilai tersendiri.

Ketika ditemui baru-baru ini, James berkongsi mengenai seni jalanan di kota maju itu yang menurutnya wajar dihargai orang ramai.

“Setiap pelukis mempunyai identiti tersendiri dan setiap karya dihasilkan berisi mesej yang mahu disampaikan termasuk pengkarya jalanan.

HOSIER Lane menjadi lorong popular untuk pelancong merakam kenangan.
HOSIER Lane menjadi lorong popular untuk pelancong merakam kenangan.

“Kami tidak melukis tanpa motif sebaliknya apa yang dicoretkan adalah terjemahan daripada apa difikirkan, contohnya gambar mata yang saya lakar ini.

“Mungkin anda menganggap ia biasa, tetapi mata adalah pancaindera yang unik, signifikan dan beri banyak interpretasi mengikut pandangan masing-masing.

“Mata ada di mana-mana, sebab itu saya kerap dedikasikannya dalam karya dan ia bagaikan identiti saya,” katanya yang mula melukis sejak berusia 15 tahun.

Katanya, kebanyakan dinding bangunan di kawasan perniagaan pusat (CBD) Melbourne dihidupkan semula dengan sentuhan artistik terutama selepas pihak berkuasa tempatan mengiktirafnya sebagai antara tarikan pelancong.

Pengiktirafan itu juga mendorong pemain industri mewujudkan jelajah pelancongan untuk seni jalanan bagi pelancong yang mahu mengenali lebih dekat karya di sekitar bandar raya.

Kata James, semuanya bermula sekitar lapan tahun lalu dan pengaruh seni jalanan semakin berkembang hingga ada pemilik bangunan yang mengizinkan dinding dilakar kerana keindahan serta kelainan.

IMEJ bunga dan tulisan Melbourne di Duckboard Place, bangunan hujung laluan AC/DC Lane menghala ke Flinders Street.
IMEJ bunga dan tulisan Melbourne di Duckboard Place, bangunan hujung laluan AC/DC Lane menghala ke Flinders Street.

“Contohnya Hosier Lane kini lorong popular dalam kalangan pelancong kerana bagaikan ‘galeri’ pelbagai pelukis hebat. Pihak berkuasa tempatan juga membenarkan pelancong melukis di lorong ini tanpa sekatan,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak di bawah 12 tahun dikatakan artis termuda melukis di lorong itu selain mereka yang berbakat.

Anda bertuah sekiranya karya dihasilkan di lorong itu bertahan lama kerana kebanyakannya berganti dalam tempoh singkat.

“Disebabkan sesiapa pun boleh melukis, dindingnya (di Hosier Lane) sudah padat dengan pelbagai karya, namun jika lukisan itu indah dan digemari, selalunya ia akan bertahan lama, mungkin berbulan-bulan.

“Malangnya, jika ada yang berasakan ia tidak begitu menarik, selalunya akan ada pelukis lain yang memadamkannya dan membuat karya baharu. Semua pihak terbuka menerimanya,” katanya.

James yang turut melukis karya seni halus, mengakui karyanya di lorong itu sudah lama dipadamkan pelukis lain dan dia tidak berkecil hati.

BERUS, alatan penting buat pelukis.
BERUS, alatan penting buat pelukis.

Sebaliknya, pemuda yang gemar merantau sambil berkarya itu mengagumi setiap lukisan yang dihasilkan artis seperti imej lelaki di Strachan Lane.

“Saya hanya mengenali pelukisnya dengan nama Vincent dan dia artis hebat Melbourne kerana karyanya sangat ‘outstanding’ serta juga dipamerkan di galeri.

“Difahamkan imej lelaki di dinding ini (di Strachan Lane) adalah rakannya yang juga pemuzik. Dia melukisnya dalam tempoh dua minggu saja dan kualitinya sangat baik seperti dilakar di kanvas. Sungguh menakjubkan,” katanya.

James berkata, kebanyakan artis di kota itu mempunyai studio untuk berkarya dan dia sendiri mempunyai ruang peribadi di sebuah studio di utara Melbourne.

Bagaimanapun, ada studio yang terbuka untuk pencinta seni teroka seperti Blender Studios di barat Melbourne.

Ia adalah gudang seni untuk mereka yang mahu menyaksikan artis melukis, berguru ataupun sekadar melihat karya yang dipamerkan di galeri.

“Studio itu lebih terbuka menerima tetamu dan menyediakan pelbagai aktiviti untuk mereka menghargai seni,” katanya yang pernah melukis dinding bangunan di Kanada, England dan Jerman.

JAMES ketika menjelaskan mengenai karya jalanan di Melbourne.
JAMES ketika menjelaskan mengenai karya jalanan di Melbourne.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:56 AM