CIPTA ruang mengeratkan silaturahim keluarga.
CIPTA ruang mengeratkan silaturahim keluarga.

SEMPENA musim cuti persekolahan yang panjang baru-baru ini, Pusat Beli-Belah IPC menganjurkan Kempen Cuti Sekolah Mighty Mighty Squad bagi mencungkil bakat dan kemahiran kanak-kanak.

Kempen yang berlangsung pada 22 hingga 31 Mac lalu, bertemakan ‘Superheroes’ terbuka kepada kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun berkonsepkan pengembaraan.

Acara litar halangan sepanjang 20 meter ini direka bentuk khas untuk memupuk semangat dan imaginasi generasi muda yang aktif, berani serta cekal.

Kanak-kanak perlu melepasi 11 halangan yang membabitkan pelbagai aktiviti seperti melompat, merangkak, berlari dan memanjat bagi menguji ketangkasan serta kekuatan fizikal masing-masing.

Lebih menarik, peserta yang berjaya menempuhi semua cabaran dalam litar turut menerima sijil IPC Mighty Mighty Squad.

Pengurus Pemasarannya Eleanor Lo berkata, kempen ini bertujuan mencipta ruang bagi memberi inspirasi kepada tabiat positif dan sihat dalam kalangan anak muda.

ASAH bakat dan kemahiran si cilik.
ASAH bakat dan kemahiran si cilik.

“Cuti persekolahan adalah masa terbaik untuk ibu bapa meluangkan masa bersama anak dengan melakukan pelbagai aktiviti yang memupuk sifat positif dalam diri mereka.

“Melalui kempen ini, kami berhasrat untuk membentuk satu landasan interaktif pada musim cuti sekolah, sekali gus memberi peluang kepada ibu bapa mengenali anak dengan lebih mendalam serta mengeratkan silaturahim.

“Kesibukan kanak-kanak zaman ini seakan menyamai orang dewasa apabila jadual harian mereka dipenuhi aktiviti kokurikulum dan kelas tuisyen.

“Justeru, menerusi kempen ini, kita yakin dapat mendedahkan mereka kepada aktiviti yang mampu mencetuskan kreativiti dan mengasah kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada aktiviti litar halangan, peserta turut berpeluang memilih nama bagi maskot Sma Club yang juga diumumkan penghujung kempen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 6:30 AM