IBU bapa dan peserta bergambar kenangan sebelum memulakan cabaran.
IBU bapa dan peserta bergambar kenangan sebelum memulakan cabaran.
DR Khew membantu memberi tunjuk ajar kepada peserta.
DR Khew membantu memberi tunjuk ajar kepada peserta.
PROGRAM  Little Ninja Warrior beri pendedahan kepada kanak-kanak.
PROGRAM Little Ninja Warrior beri pendedahan kepada kanak-kanak.
PESERTA yang mengambil bahagian dalam cabaran halangan.
PESERTA yang mengambil bahagian dalam cabaran halangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Aktiviti fizikal aspek penting dalam mengekalkan kesihatan yang terbaik untuk kanak-kanak. Ia bukan saja membantu dari segi pertumbuhan badan malah boleh meningkatkan kecergasan dan stamina mereka.

Baru-baru ini, satu program cabaran halangan untuk kanak-kanak, Little Ninja Warrior dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada sekumpulan kanak-kanak dengan aktiviti menarik dan mencabar kekuatan fizikal serta mental mereka.

Projek itu anjuran bersama pusat terapi bantuan haiwan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, Animals for Young; Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM); syarikat permainan dari Taiwan, Weplay dan PPS Marketing di Sunway Velocity Mall, Cheras, Kuala Lumpur.

Litar halangan turut disesuaikan untuk kanak-kanak dengan keperluan khas dan program itu menyaksikan 25 kanak-kanak di bawah NASOM mengambil bahagian dalam cabaran Little Ninja Warrior.

Cabaran halangan itu membabitkan satu siri aktiviti yang bertujuan membangunkan lima bidang utama untuk kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun iaitu kemahiran motor, persepsi taktil (sentuhan) koordinasi imbangan, kemahiran motor halus dan permainan kreatif interaktif.

Selain halangan, kanak-kanak yang hadir dalam program itu boleh menguji kemahiran motor dan koordinasi imbangan melalui skuter, selain menyertai aktiviti mewarna tanah liat untuk menunjukkan kreativiti mereka pada kanvas berpasir.

Bagi ibu peserta kembar tiga berusia tujuh tahun, Helena Tan, 40, ketiga-tiga anaknya memang menggemari aktiviti mencabar seperti itu dan tidak melepaskan peluang membawa mereka menyertai program terbabit.

Menurut Helena, terapi permainan seperti itu sangat bagus kerana dapat mengalihkan perhatian kanak-kanak dari gajet, membangunkan fizikal dan melatih koordinasi otak dengan tangan serta anggota badan lain.

“Di rumah, saya dan suami memang mengawal anak kami, Eytan Tan, Enrique Tan dan Evanz Tan daripada sebarang gajet. Apa yang kami lakukan adalah sama-sama membina pelbagai aktiviti yang menyihatkan dari segi fizikal dan minda.

“Apabila sudah dibiasakan kehidupan tanpa gajet, tidak sukar mengalih perhatian mereka untuk melakukan aktiviti di luar rumah atau aktiviti interaktif dan menyeronokkan di rumah,” katanya.

Bagi Nurul Balkis Ariffin, 29, dia membawa anaknya Ziyad Azeem, 3, sebagai pendedahan awal terhadap aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan memberi manfaat terhadap tumbesarannya.

Katanya, aktiviti seumpama itu sangat berguna khususnya dalam mengawal ketagihan gajet untuk kanak-kanak seusianya dengan mengalih perhatian terhadap aktiviti yang menyeronokkan seperti itu.

“Generasi hari ini memang tidak dapat lari dari gajet, boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak pasti terikat dengannya cuma sebagai ibu bapa kitalah yang perlu bijak mengawal anak daripada terus ketagih dengan mempelbagaikan aktiviti di dalam dan luar rumah.

“Berkaitan program ini pula, saya harap ia dapat diteruskan dan diperbanyakkan pada masa akan datang. Saya lihat anak saya begitu bersemangat dan tak sangka pula ada halangan yang saya rasakan untuk kanak-kanak sekecil ini tidak dapat lakukan,” katanya.

Bagi Bendahari Kehormat NASOM yang juga bapa kepada anak autisme, Hasree Khaw Abdullah, program itu bukan saja dapat membantu kanak-kanak autisme mengembangkan kemahiran interaksi mereka malah dapat memupuk kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap golongan itu.

Menurut Hasree, anaknya Mifzal Khaw, 12, dikesan autistik sejak berusia empat tahun juga berharap pelbagai program membabitkan anak autistik diteruskan dan diperba­nyakkan di negara ini.

“Ada ibu bapa yang tak dapat terima anak mereka sebenarnya mengalami autisme maka mereka tidak berikhtiar menempatkan anak ini dalam program berkaitan autisme.

“Ini mungkin juga disebabkan pandangan masyarakat sekeliling yang masih kurang jelas dengan keadaan ini. Oleh itu, setiap ahli masyarakat perlu tahu, anak autistik ini istimewa, dari luar ramai yang tidak nampak kekurangan mereka.

“Apabila penerimaan orang sekeliling makin kuat, tidak mustahil ibu bapa tidak lagi takut atau malu tampil ke depan sekiranya anak mereka dikesan mengalami autisme,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Animals for Young Dr E Joon Khew berkata, keseronokan dan aktiviti mencabar seperti itu bukan saja memberikan pengalaman berbeza buat kanak-kanak malah sambil bermain, mereka turut membina kemahiran berguna untuk masa depan.

Katanya, menerusi permainan dan haiwan, mereka akan mempelajari berkenaan belas ihsan, kasih sayang dan bertimbang rasa yang menjadi teras untuk membina generasi masa depan yang lebih bertanggungjawab.

Pada program itu, pertandingan prasekolah untuk kanak-kanak di bawah umur enam tahun turut diadakan.

Kanak-kanak yang mengambil bahagian bukan saja bersaing sesama sendiri, tapi juga bersaing untuk sekolah masing-masing, dengan pemenang akan menerima sijil dan sekolah yang diwakili akan menerima Set Universal Weplay Motor Skill bernilai RM2,957.

Disasarkan untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah, setiap penyertaan dengan bayaran sumbangan RM10 yang akan digunakan sepenuhnya untuk menaja anak istimewa di pusat Animals for Young dan juga untuk penyelidikan berterusan autisme.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:27 PM