SEBAHAGIAN pengurusan FRIM dan SDP selepas majlis projek ‘Plant-A-Tree’ di Ladang Jentar. FOTO fail NSTP
SEBAHAGIAN pengurusan FRIM dan SDP selepas majlis projek ‘Plant-A-Tree’ di Ladang Jentar. FOTO fail NSTP
Mohamad Hussin


TAHAP kesedaran awam dilihat semakin meningkat selain terdapat inisiatif yang lebih besar untuk mengetengahkan biodiversiti dalam perancangan peringkat negara dan negeri.

Oleh itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersedia bekerjasama dengan sektor swasta dalam penanaman semula hutan dan projek pengayaan biodiversiti dalam usaha mencegah kepupusan spesies flora yang berharga.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, bagi melindungi aset negara dan warisan semula jadi, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi yang mempunyai matlamat sama dalam memastikan pemuliharaan dan kemapanan hutan serta kekayaan biodiversiti.

“FRIM menerajui usaha pemuliharaan tumbuhan negara dan memainkan peranan penting dalam pemuliharaan kelip-kelip serta habitatnya di Kampung Kuantan, Selangor.

“FRIM juga menjadi pusat rujukan untuk dokumentasi biodiversiti Malaysia. Herbarium Kepong menempatkan 300,000 spesimen dengan lebih 770 spesimen tip dan berfungsi sebagai pusat rujukan negara.

“Selain itu, FRIM juga mengetuai beberapa projek floristik kebangsaan termasuk Tree Flora of Malaya (TFM), Tree Flora of Sabah dan Sarawak (TFSS) dan Flora of Peninsular Malaysia (FPM) untuk mendokumentasikan kekayaan biodiversiti flora negara,” katanya ketika berucap sempena majlis projek ‘Plant-A-Tree’ di Ladang Jentar, Temerloh, Pahang, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM, Dr Lillian Chua.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Huluan Sime Darby Plantation Bhd (SDP), Mohamad Helmy Othman Basha, Ahli Majlis Pentadbiran Yayasan Sime Darby, Caroline Christine Russell dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Samsu Anuar Nawi.

POKOK merawan kanching, salah satu spesies sangat terancam turut ditanam di Ladang Jentar. FOTO fail NSTP
POKOK merawan kanching, salah satu spesies sangat terancam turut ditanam di Ladang Jentar. FOTO fail NSTP

Pada projek itu, SDP bekerjasama dengan FRIM untuk mengenal pasti dan menanam spesies tumbuhan hutan yang terancam serta jarang ditemui bagi tujuan pemuliharaan.

Dr Abd Latif berkata, pihaknya turut menjalankan penilaian status pemuliharaan terhadap spesies tumbuhan.

“Penilaian terhadap kaum Dipterokarpa (Dipterocarpaceae) pada 2010 menunjukkan 92 spesies di Semenanjung berada dalam kategori terancam.

“FRIM bekerjasama dengan SDP dalam pemuliharaan ex situ spesies pokok hutan yang terancam dan jarang ditemui di Ladang Jentar. Saya mengucapkan terima kasih kepada SDP atas usaha penubuhan, pengurusan, pemantauan dan penggunaan bukan komersial spesies tumbuhan hutan terancam dan jarang ditemui secara ex situ.

“Kami sudah menyumbang 188 anak benih dari 20 spesies kaum Dipterokarpa untuk penanaman di tapak Bukit Pasir.

“Antaranya, enam spesies adalah amat terancam, empat terancam, lima terdedah kepada ancaman manakala satu jarang ditemui,” katanya.

Menurutnya, FRIM dan SDP turut menjalankan kajian flora di Bukit Kiab manakala ahli zoologi FRIM menjalankan beberapa kajian pemantauan fauna di Bukit Angin, Bukit Kiab dan Bukit Pasir.

“Kami akan terus memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan untuk mencegah kepupusan spesies. Kita perlu mengelak penambahan spesies tumbuhan kepada senarai pupus yang kini merangkumi spesies meranti damar hitam (Shorea kuantanensis, Dipterocarpaceae) dan tumbuhan herba asam batu (Begonia eiromischa).

“Kampus FRIM di Kepong juga adalah tapak konservasi ex situ di mana 73 spesies terancam ditanam, antaranya, 66 adalah kaum Dipterokarpa.

“Usaha konservasi in situ (di tempat asal atau habitat asal) dan ex situ (di luar habitat asal) dijalankan dengan beberapa pihak yang berkepentingan dalam memulihara serta mencegah kepupusan spesies,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 12:08 PM