Dr Khali Aziz Hamzah.
Dr Khali Aziz Hamzah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 567 daripada 1,600 tumbuhan di Semenanjung Malaysia yang dinilai menerusi penilaian Senarai Merah Malaysia diklasifikasikan sebagai terancam, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Khali Aziz Hamzah.

Beliau berkata, penilaian itu penting untuk membantu proses penentuan keutamaan bagi tujuan pemuliharaan spesies tumbuhan yang terancam.

Justeru, katanya, FRIM sedang giat melaksanakan aktiviti penyelidikan serta usaha pemuliharaan berasaskan sains bagi memastikan pengurusan pemuliharaan yang efektif.

"FRIM juga menjalankan penyelidikan dan pemantauan populasi spesies tumbuhan terancam terpilih untuk meningkatkan pemahaman terhadap taburan populasi, biologi reproduktif serta ekologi spesies tersebut.

"Antara spesies tumbuhan terancam yang dipantau serta dikaji FRIM seperti spesis Dipterokarpa (Dipterocarpaceae) serta Asam Batu (Begonia spp.) dan Karas (Aquilaria spp.)," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khalil Aziz berkata, antara kajian yang dijalankan termasuk kajian fenologi iaitu kajian tentang proses pembentukan bunga dan buah serta faktor yang mempengaruhinya.

"Hasil kajian ini penting dalam penyediaan saranan pemuliharaan untuk disampaikan kepada pengurus hutan dan pihak berkepentingan bagi merangka serta merancang usaha pemuliharaan yang efektif serta berkesan.

"Hasil penyelidikan FRIM telah menyumbang kepada penubuhan Kawasan Hutan Mempunyai Nilai Pemeliharaan Yang Tinggi (HCVF) oleh jabatan-jabatan perhutanan negeri untuk memelihara populasi tumbuhan terancam secara in situ (pemuliharaan di habitat asal) dan pembentukan pelan tindakan pemuliharaan spesies terancam," katanya.

Selain itu, sejak 2010 FRIM juga menjalankan aktiviti pengutipan biji benih dan anak benih bagi spesies terancam untuk pemuliharaan dan sehingga kini lebih 72 spesies pokok terancam dikumpul dalam koleksi institut itu.

"FRIM turut menjalankan kajian dan usaha pemuliharaan spesies terancam di luar hutan simpan dan secara ex situ (di luar habitat)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:40 PM