ANTARA spesies hutan bernilai tinggi  yang diancam kepupusan.
ANTARA spesies hutan bernilai tinggi yang diancam kepupusan.
Rosli Zakaria


Kuala Terengganu: Terengganu memiliki hutan simpan kekal berkeluasan 544,000 hektar yang mengekalkan khazanah biodiversiti tidak ternilai.

Namun, aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan menjadi ancaman kepada pelbagai spesies flora dan fauna termasuk jenis unik yang belum dicatatkan secara ilmiah oleh penyelidik.

Antara yang terancam orkid liar yang mengundang kepupusan disebabkan sesetengah flora ini menumpang hidup pada pokok lain dan kini tidak lagi mempunyai habitat sempurna.

Tercatat sebagai hutan hujan tropika antara tertua di dunia membolehkan setiap pokok menjadi tempat bermastautin orkid daripada sekecil-kecil Podochilus Tenuis hingga yang terbesar seperti Grammatophyllum Speciosum atau lebih terkenal sebagai Orkid Harimau.

Malangnya, Prof Madya Dr Jamilah Mohd Salim dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (Bio-D Tropika), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, penerokaan menyebabkan kurangnya pohon sesuai untuk orkid hidup.

“Akhirnya, aktiviti menarah hutan hanya meninggalkan tunggul sebagai tanda kehadiran manusia,” katanya, baru-baru ini.

Beliau berkata, tumbangnya sebatang pokok bermakna mendedahkan orkid hutan kepada kepupusan kerana pancaran terus sinar matahari selain tidak menerima cukup zat.

Katanya, selain flora itu, tumbuhan herba seperti spesies halia juga menghadapi masalah serupa.

“Orkid dan halia jenis hidupan bercirikan adaptasi fisiologi apabila ia memerlukan kawasan teduhan untuk hidup seperti di lantai hutan atau celah kanopi pokok besar hutan tropika.

“Malang sekali disebabkan tiada usaha mana-mana pihak mengutip dan menyelamatkan orkid dan herba hutan ini ke kawasan pemuliharaan sebagai spesimen ex-situ, ia pupus begitu saja.

“Pemuliharaan ex-situ penting kerana ia menjadi kawasan habitat baru untuk spesies terancam pulih. Sepatutnya kawasan ini boleh diwujudkan pemegang konsesi balak sebelum mereka mulakan aktiviti.

“Ia boleh jadi tempat singgahan sementara untuk memulihkan hidupan ini, malah boleh juga dibangunkan menjadi tarikan ekopelancongan seperti di Sepanyol, Mexico, Amerika Latin dan Australia,” katanya.

Walaupun Terengganu mewujudkan Taman Orkid di pulau di Tasik Kenyir, Dr Jamilah berkata, ia hanya berkonsepkan display (tontonan) tetapi tiada unsur konservasi.

“Sedangkan informasi saintifik seperti jenis, ciri, pengecaman, ekologi dan biologi spesies yang dipamerkan amat penting untuk maklumat pelancong.

“Mungkin tiba masanya Jabatan Perhutanan Negeri bekerjasama dengan kerajaan tempatan dan pemegang konsesi balak untuk mewujudkan kawasan pemuliharaan ex-situ di setiap daerah yang terbabit pembalakan demi menyelamatkan orkid dan flora liar lain.

DR Jamilah  (kiri) membuat penyelidikan di lapangan berhampiran pantai di Terengganu.
DR Jamilah (kiri) membuat penyelidikan di lapangan berhampiran pantai di Terengganu.

“Selain itu, ia juga menjadi ruang pelancongan, malah peluang untuk kakitangan jabatan mengenali lebih dekat sumber hutan yang terancam dan tidak terbatas bagi kumpulan penyelidik semata-mata,” katanya.

Beliau juga enggan menyalahkan tindakan penggemar orkid yang ke hutan memetik tumbuhan itu kerana baginya, nasib orkid lebih terbela di tangan pencinta itu berbanding mati akibat penerokaan.

“Sekiranya pihak berkuasa bimbang isu pencerobohan berbangkit disebabkan hobi individu mencari orkid liar, undang-undang lebih kemas menangani isu itu boleh dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 8:01 AM