PESERTA yang menyertai program Bubble Camp 2018.
PESERTA yang menyertai program Bubble Camp 2018.
Ainal Marhaton Abd Ghani

Membuat bubu di tepi pantai, membina tukun tiruan dalam air dan sukaneka di bawah terik mentari serta menonton cerita kartun ‘berbumbungkan’ langit malam.

Itu pengalaman menarik yang dilalui 78 peserta program Bubble Camp 2018 di Kampung Genting, Pulau Tioman, baru-baru ini.

Tiada sebab untuk mengeluh kepenatan kerana sepanjang empat hari tiga malam berkampung di Damai Tioman Resort itu, masa mereka sentiasa dipenuhi pelbagai aktiviti menarik termasuk malam terakhir yang diwarnai persembahan kebudayaan bertemakan pahlawan zaman silam.

Meskipun baru pertama kali bertemu, peserta berusia enam hingga 15 tahun dan datang dari sekolah berbeza itu mudah mesra serta mendapat kawan baru kerana semua aktiviti dilakukan dalam kumpulan.

Program itu anjuran kali ke-7 oleh Villagers Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan dan Tourism Malaysia Pahang.

PESERTA mempelajari cara membuat bubu daripada nelayan.
PESERTA mempelajari cara membuat bubu daripada nelayan.

Setiap tahun ia mengadakan aktiviti berbeza kecuali aktiviti dalam air seperti teknik apungan, menyelam, membuat tukun tiruan dan asas selam skuba.

Kali ini, peserta dibawa ke Kampung Mukut yang mengambil masa 30 minit perjalanan menaiki bot dari Kampung Genting untuk menjalankan aktiviti membuat bubu dan sukaneka.

Pengarah program, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, menerusi kepelbagaian aktiviti yang dijalankan itu secara tidak langsung membantu membina jati diri, kepemimpinan dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

“Kelainan kali ini ialah peserta didedahkan dengan aktiviti kampung dan ikhtiar hidup ketika berada di pulau serta laut.

“Kami juga memberi pendedahan berkenaan teknik menyelam dan skuba walaupun ramai peserta agak takut untuk melakukannya pada peringkat awal sebelum merasai keseronokan itu.

“Pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah berkenaan pemuliharaan alam sekitar, hidupan marin dan tayangan video berkaitan spesies hidupan laut yang semakin terancam seperti penyu dan terumbu karang. Pendedahan itu bertujuan melahirkan generasi pelapis yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

PESERTA kursus selam skuba berada di dasar laut.
PESERTA kursus selam skuba berada di dasar laut.

Peserta, Ilhan Hadiff Isnawan, 12, berkata, dia teruja kerana pertama kali dapat menyertai kem berkenaan selain berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang belum pernah dilakukan sebelum itu.

“Saya tidak menyangka akan mempelajari teknik membuat bubu iaitu sejenis peralatan menangkap ikan yang kebiasaannya dilakukan nelayan.

“Malah, saya seronok kerana dapat menimba pengalaman baru kerana selama ini lebih terdedah kepada corak kehidupan di bandar.

“Pengalaman ini akan saya kongsikan kepada kawan sekolah dan berharap ibu, Halida Abu Bakar membenarkan saya menyertai program sama tahun depan,” kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara 4, Kuala Lumpur itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:06 AM