NOR Afzah.
NOR Afzah.
Intan Mas Ayu Shahimi


Sorotan pengalaman dan tip selam skuba yang dikongsikan di laman Facebook menjadi titik pertemuan pertama dengan wanita ini. Ketika ditanya kesudiannya berkongsi cerita dengan pembaca, Nor Afzah Ismail, 43, dengan rendah diri mengakui tidak layak kerana masih terlalu mentah. Namun pertemuan keesokannya membawa perkongsian lebih menarik.

Ternyata Nor Afzah bukan sekadar memegang lesen selam skuba laut terbuka, tetapi begitu komited berkongsi pengalaman dan pandangan untuk menarik pembabitan lebih ramai wanita dalam sukan berkenaan. Katanya, selam skuba membawa dirinya jauh ke depan, sekali gus mencipta keseronokan baru dalam hidup.

“Semuanya bermula ketika saya dan suami bercuti di Semporna, Februari lalu. Di sana kami ternampak pakej ke Pulau Mabul dan tertarik untuk mencuba program Discovery Scuba Diving (rekreasi selam skuba). Kali pertama mencuba memang ada perasaan takut.

“Namun saya tidak sangka boleh terus jatuh hati. Saya dan suami begitu terpesona dengan keindahan dasar laut.

“Selepas berbincang dengan pengajar, suami membuat keputusan mendaftar dan terus mengambil lesen selam skuba laut terbuka. Sempat juga saya bersembang dengan pengajar dan meminta pandangan suami. Selepas diyakinkan, kami akhirnya membuat keputusan mengambil lesen bersama-sama,” katanya.

Menurut pemilik Signature Cafe di Kajang ini, dia mengambil masa cukup singkat untuk mempelajari semua teknik menyelam, membersihkan topeng, mengendalikan pengawal atur (regulator), bahasa isyarat dan cara mengimbang tubuh.

KETIKA selam skuba laut terbuka.
KETIKA selam skuba laut terbuka.

“Apabila tahu semua teknik dan tip keselamatan, barulah keyakinan timbul perlahan-lahan. Tak ada lagi rasa takut, malah saya bertambah yakin. Bayangkan, selepas menyelam buat kali pertama, saya tidak boleh tidur kerana tak sabar menunggu esok untuk turun sekali lagi.

“Perkara paling menarik di Pulau Mabul adalah batu karangnya yang besar dan cantik. Pada kedalaman 22 hingga 24 meter, saya sudah boleh melihat hidupan laut, penyu, ikan pari, tapak sulaiman dan kuda laut. Semuanya besar dan mengasyikkan. Manakala suasana di sekeliling pula sunyi dan cukup menenangkan,” katanya.

Keseronokan laut terbuka

Dalam keterujaan berkongsi cerita, Nor Afzah berkali-kali memberitahu aktiviti selam skuba adalah sukan menarik yang perlu dicuba ramai wanita.

“Ini lain daripada yang lain. Selalunya orang perempuan suka berbasikal, berzumba dan memanjat gunung. Apa kata cuba cari kelainan di dasar laut. Ia memang sangat berbaloi untuk diteroka. Pemandangan cantik, suasana aman, semua ini boleh membantu mengurangkan tekanan.

“Kalau sudah berkahwin, saya galakkan supaya isteri pergi bersama suami. Jika tidak, mungkin boleh pergi dengan rakan secara berkumpulan. Sukan ini juga sesuai untuk Muslimah. Kita ada banyak pilihan pakaian renang Muslimah di pasaran. Jadi, tidak timbul isu aurat dan sebagainya. Jika perlu, mereka boleh menyarung sut basah bersama baju yang lebih longgar di luar untuk mengelak susuk tubuh kelihatan,” katanya.

BERSAMA suami tercinta, Mohd Hairezal Abd Rahman.
BERSAMA suami tercinta, Mohd Hairezal Abd Rahman.

Jelas Nor Afzah, dia percaya ciptaan Allah SWT itu luas. Jadi, adalah rugi jika kesempatan meneroka lautan luas tidak dinikmati sebaiknya.

“Hidupan di laut cukup indah. Apa yang kebanyakan kita lihat di televisyen atau majalah itu baru 30 peratus saja, sementara 70 peratus lagi masih di dasar laut. Untuk menyertai aktiviti ini, sesiapa pun tidak perlu pandai berenang. Malah, sebelum mengambil lesen, pengajar akan beritahu dulu segala teknik dan perkara berkaitan keselamatan.

“Saya sendiri memang tidak pandai berenang. Saya hanya yakin di kolam renang tapi tidak di lautan. Siapa sangka rupanya saya mampu mengatasi rasa takut, bahkan jadi begitu teruja setiap kali mengingatkan betapa seronoknya menyelam ke dasar laut,” katanya sambil tersenyum.

Motivasi untuk wanita

Sejak pulang dari Pulau Mabul Februari lalu, Nor Afzah mengakui dia berubah menjadi seorang yang begitu positif. Wanita ini tidak jemu-jemu mengajak lebih ramai wanita mencuba selam skuba, sekali gus mengambil lesen laut terbuka.

“Selalu saya beritahu mereka tiada apa yang hendak ditakutkan. Jika tip keselamatan diambil kira, semuanya insya-Allah lancar dan selamat. Lebih daripada itu, sesiapa pun akan bertukar teruja.

“Setakat ini, sudah 13 peserta lelaki dan wanita saya bawa ke Pulau Mabul untuk mengambil lesen bersama pengajar yang sama. Saya sendiri sudah empat kali ke sana tahun ini dan akan pergi lagi awal bulan depan bersama tujuh individu.

“Kalau boleh, saya mahu mengajak lebih ramai wanita menceburi sukan ini. Perasaan takut pada peringkat awal permulaan itu normal. Namun, kalau tidak mencuba, kita mungkin tidak tahu bagaimana rasanya berada di dasar laut,” katanya.

Satu perkara yang kerap ditanya kepada Nor Afzah adalah soal kos. Katanya, tidak dinafikan selam skuba memang sukan mahal, tetapi perbelanjaannya masih boleh dirancang.

“Tak perlulah kita membeli peralatan lengkap jika hanya sesekali ke laut. Memadai meminjam saja. Lagipun, jika kita mendaftar untuk mengambil lesen, mereka akan sediakan semuanya.

“Jika mahu mengambil lesen selam skuba laut terbuka di Pulau Mabul, kita perlu membayar RM1,300. Selebihnya, mungkin kita perlu tambah antara

RM400 ke RM700 untuk penginapan dan makan, bergantung kepada pilihan sendiri. Paling tidak, kosnya sekitar RM2,000 saja. Cuma, kalau ke Pulau Mabul, kita perlu pertimbangkan harga tiket kapal terbang. Rancanglah perjalanan lebih awal untuk mendapatkan harga tiket yang lebih murah.

“Bagi saya, memadai jika membeli kelengkapan asas seperti sut basah, topeng selam, sirip selam (fin) dan sarung tangan saja. Usah membazir ribuan ringgit untuk membeli tangki oksigen, jaket kawalan imbangan badan atau Buoyancy Control Device (BCD) mahupun regulator sendiri,” katanya.

Kebaikan menyelam

1. Meningkatkan kecergasan fizikal

Selam skuba memerlukan anda untuk berenang semasa dalam laut. Berenang mampu meningkatkan kecergasan tubuh badan kerana ia adalah salah satu senaman kardio dan senaman otot yang memerlukan badan kita bergerak dan berinteraksi dalam tekanan laut yang tinggi.

2. Memulihkan kecederaan

Air laut mempunyai molekul yang baik untuk tubuh kita. Kajian mendapati seseorang yang berada di bawah laut untuk jangka masa tertentu mampu memulihkan luka dan calar pada badan. Hal ini dipanggil ‘kesan pemulihan air’.

3. Melegakan tekanan

Penyelam skuba mampu melepaskan tekanan yang dihadapi kerana proses meditasi yang berlaku secara tidak langsung semasa aktiviti ini. Proses meditasi berlaku kerana pernafasan yang teratur dan membuat penyelam berada dalam keadaan yang tenang.

4. Meningkatkan peredaran darah

Seluruh tubuh akan bergerak sentiasa ketika di dasar laut. Otot memerlukan oksigen untuk bergerak lalu saluran darah akan terbuka bagi memberi oksigen yang secukupnya kepada otot. Hasil daripada pergerakan yang berterusan mampu mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

5. Meningkatkan sistem pernafasan

Ketika menyelam, paru-paru akan berkembang untuk menyerap oksigen. Sebagaimana anda berusaha untuk bernafas dengan betul, sebegitu juga paru-paru akan bekerja menyalurkan oksigen ke seluruh badan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 2:31 PM