BANGUNAN Balai Seni Lukis cawangan Langkawi di Dayang Bay, Langkawi.
BANGUNAN Balai Seni Lukis cawangan Langkawi di Dayang Bay, Langkawi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Malaysia mencatat sejarah apabila Langkawi dipilih menjadi tuan rumah Rekaan dan Persidangan Seni Antarabangsa Asia (AICAD) 2018 yang diadakan di Balai Seni Negara (BSN) cawangan Langkawi, baru-baru ini.

AICAD 2018 hasil kerjasama antara BSN cawangan Langkawi dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak dan Majlis Reka Bentuk Malaysia adalah pameran seni tahunan kedua selepas diadakan di Indonesia tahun lalu.

Ia diadakan untuk meraikan bakat pelukis tempatan dan antarabangsa serta mengangkat seni kontemporari tanah air pada tahap yang lebih tinggi.

Seramai 50 pelukis tempatan dan antarabangsa mempamerkan karya mereka berbentuk lukisan, fotografi, instalasi, cetakan dan media campuran dalam pameran yang berlangsung dari 9 September hingga 6 Oktober ini.

Pameran seni itu adalah sebahagian daripada program AICAD 2018 yang bermula pada 2 hingga 6 Oktober ini, sementara perasmiannya pada 4 Oktober ini.

Pengurus Projek AICAD 2018 Dr Muhammad Abdul Aziz Ab Gani berkata, AICAD adalah unik dan berprestij kerana terdapat tiga program yang diadakan serentak merangkumi persidangan AICAD, pertandingan inovasi dan pameran lukisan.

PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan.
PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan.

Katanya, dalam persidangan AICAD, pelukis berpengalaman dan ahli akademik akan membentangkan hasil kajian mereka berkenaan seni visual serta reka bentuk.

“Program kedua ialah pertandingan inovasi untuk tiga kategori iaitu sekolah menengah, institut pengajian tinggi dan terbuka. Mereka yang berminat perlu menghantar idea karya awal dalam bentuk poster dan dinilai juri.

“Seterusnya ialah pameran daripada 50 karya pelukis tempatan dan antarabangsa. Dalam pameran ini pengunjung boleh melihat secara lebih dekat karya artis terkenal dari Jepun iaitu Ko Yamada dan pelukis Malaysia, Hamdan Sharani,” katanya.

Beliau berkata, pelukis tempatan perlu mengambil peluang itu mengetengahkan karya mereka kerana ini platform untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

KARYA fotografi jurugambar terkenal Jepun, Ko Yamada.
KARYA fotografi jurugambar terkenal Jepun, Ko Yamada.

Keputusan BSN membuka cawangan pertama balai berkenaan di Langkawi adalah tepat kerana potensi kawasan terbabit sebagai pusat pelancongan terkenal negara yang dikenali di seluruh dunia.

Kurator Kanan Seksyen Pembangunan Seni BSN, Mohamad Majidi Amir berkata, cawangan baru itu terletak di Dayang Bay adalah tiga bangunan dua tingkat bernilai RM2.3 juta yang dibeli awal tahun ini.

“BSN di bawah Seksyen Pembangunan Seni mahu mendidik dan memberi pendedahan kepada anak muda khususnya di Langkawi dapat melihat potensi seni secara holistik kerana bidang ini boleh menjadikan mereka sebagai usahawan.

“Di sini, kami akan tawarkan mereka latihan untuk menambah baik dan meningkatkan semula kemahiran melukis supaya relevan dengan perkembangan semasa serta memenuhi ‘selera’ peminat seni visual,” katanya.

Katanya, pameran itu salah satu usaha pembangunan pendidikan kerana di Langkawi sebelum ini tiada tempat khas untuk membuat pameran lukisan.

DR Muhammad Abdul Aziz meneliti kehalusan seramik karya artis Jepun, Shibata Masaaki berjudul ‘Back to Nature’.
DR Muhammad Abdul Aziz meneliti kehalusan seramik karya artis Jepun, Shibata Masaaki berjudul ‘Back to Nature’.

“Ini menyebabkan mereka (penduduk dan pelukis Langkawi) tidak berpeluang melihat hasil karya pelukis luar secara lebih dekat.

“Selain itu, cawangan ini akan menjadi tarikan pelancongan terbaru di Langkawi yang sememangnya terkenal dengan keindahan semula jadi dan legenda masa silam,” katanya.

Pelukis, Aznan Omar yang menggunakan kepingan aluminium dalam menghasilkan arca dinding berjaya membuat pengunjung terpukau melihat karya kreatifnya itu.

Karya berjudul ‘Application for Cats’ (Apps for Cats) adalah gambaran kepada mereka yang obses dengan haiwan berkenaan.

“Mereka bukan saja boleh memuat turun aplikasi yang menyediakan permainan kucing dalam telefon pintar.

“Tapi juga sanggup membuka akaun Instagram khas untuk berkongsi cerita haiwan kesayangan kepada umum yang sudah menjadi trend masa kini,” katanya.

 AZNAN bersama karyanya bertajuk ‘Application for Cats’.
AZNAN bersama karyanya bertajuk ‘Application for Cats’.

PAMERAN AICAD

• ARTIS: 50

• KARYA 50

• TARIKH: 9 September hingga 6 Oktober 2018

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang (Jumaat tutup)

• TEMPAT: Balai Seni Negara cawangan Langkawi, Dayang Bay, Langkawi, Kedah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 7:29 AM