SUZLEE memberi penerangan kepada peminat lukisan kontemporari.
SUZLEE memberi penerangan kepada peminat lukisan kontemporari.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprim.com.my


BAGI pelukis kontemporari dan Dekan di Fakulti Seni Halus, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, beliau cukup terharu apabila karya yang dihasilkannya bersandarkan Malaysia diangkat di mata dunia.

Pemilik nama Suzlee Ibrahim berkata, baru-baru ini lima karyanya bertajuk Light (2015), Endau Rompin (2014), Menunggu Cinta Matahari Berbunga (2016), Pagi Di Batu Rakit (2012) dan Chenang (2013) dimuatkan di dalam sebuah buku kopi iaitu Contemporary Art by Asian Artist.

Buku itu yang diterbitkan Filipinas Institute for the Advancement of Art and Culture (Filarts) yang berpangkalan di Quezon City, Filipina mengumpulkan 60 pelukis kontemporari terbaik di Asia untuk diperkenalkan di seluruh dunia.

Menariknya, sentuhan emas Suzlee diletakkan bersama pelukis Asia di rantau ini dan empat daripada lukisan berkenaan sudah berjaya dijual di luar negara oleh firma lelongan antarabangsa.

Katanya, sebagai anak Malaysia dia begitu teruja apabila hasil sentuhannya diangkat ke persada antarabangsa dan mendapat perhatian pengumpul koleksi kontemporari di luar rantau Asia.

"Malaysia yang mempunyai keindahan alam semula jadi tersendiri sememangnya mampu menjadi ilham kepada saya dan diterjemahkan di atas kanvas.

"Misalnya, lukisan bertajuk Light adalah ilham daripada bendera Malaysia sendiri (Jalur Gemilang) dan ia diilhamkan ketika menyambut Hari Kebangsaan," katanya.

BERSAMA rakan pelukis dari Rusia.
BERSAMA rakan pelukis dari Rusia.

Katanya, warna yang terdapat pada Jalur Gemilang sentiasa memberi inspirasi kepada dirinya dalam penghasilan karya.

"Warna asas seperti merah, biru dan kuning adalah warna yang memberi semangat perpaduan bagi kita sama-sama menghargai perjuangan yang dilakukan nenek moyang terdahulu untuk memperjuangkan kemerdekaan.

"Begitu juga dengan keadaan semasa, warna ceria itu juga memberi kita kekuatan dan semangat bagi melawan pandemik Covid-19 secara spiritual," katanya.

Mengenai seni lukisan kontemporari bersandarkan lokasi seperti di Endau Rompin, Johor pula, sememangnya beliau ingin mempromosikan lokasi itu sebagai tempat yang menarik untuk dikunjungi.

KARYA Suzlee dimuatkan di dalam Contemporary Art by Asian Artist baru-baru ini.
KARYA Suzlee dimuatkan di dalam Contemporary Art by Asian Artist baru-baru ini.

Katanya, karya yang berilhamkan lokasi secara tidak langsung dapat mempromosikan produk pelancongan tempatan di mata dunia.

"Ilham dalam lukisan kontemporari saya diambil daripada pelbagai situasi termasuk lokasi dan simbol yang menjadi identiti masyarakat dan negara ini.

"Jadi, seperti lukisan bertajuk Light itu, saya melihat Jalur Gemilang mempunyai aura tersendiri dan saya terjemahkannya dalam bentuk lukisan kontemporari supaya simbol kehormatan negara itu dikenali di peringkat dunia," katanya.

Suzlee bukanlah orang baharu dalam arena seni visual tempatan. Beliau sudah menunjukkan pencapaian yang luar biasa dalam 34 tahun kerjayanya sebagai pelukis malah sudah mengadakan 42 pameran solo dengan mempamerkan karya ke lebih 40 negara di seluruh dunia.

MENTERJEMAHKAN Endau Rompin dalam bentuk karya lukisan kontemporari.
MENTERJEMAHKAN Endau Rompin dalam bentuk karya lukisan kontemporari.

Katanya, antara negara itu ialah Amerika Syarikat, China, Denmark, Finland, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Macedonia, Singapura, Taiwan, Tunisia, Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Apabila kita membuat pameran di peringkat antarabangsa dan bercerita mengenai hasil sentuhan peribadi kepada peminat, mereka bukan sahaja menilai kekemasan sebuah karya itu, tetapi akan mencari identiti asli penceritaan yang diletakkan pelukis itu sendiri.

"Jadi, apabila mereka bertanya mengenai ilham berkenaan, saya sebagai rakyat Malaysia sudah tentu akan menceritakan keindahan dan kemakmuran negara ini kepada mereka," katanya.

Suzlee berkata, dia begitu mengimpikan lebih ramai pelukis kontemporari tempatan terus memperjuangkan keindahan dan kemakmuran Malaysia menerusi lukisan.

MENTERJEMAHKAN Endau Rompin dalam bentuk karya lukisan kontemporari.
MENTERJEMAHKAN Endau Rompin dalam bentuk karya lukisan kontemporari.

"Kita mempunyai tanah air yang begitu hebat daripada segi simbol dan keindahan alam sekitar. Secara tidak langsung tanggungjawab sebagai pelukis bukan sekadar memberi sentuhan yang tampak kemas dan cantik, tetapi perlu memberi makna kepada negara sendiri.

"Disebabkan itu, sebenarnya pelukis juga mempunyai tanggungjawab kepada tanah air untuk memberi gambaran bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai pelbagai keindahan yang boleh dinikmati pengunjung luar jika ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:00 AM