Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Garapan kerja seni dihasilkannya amat halus dan kaya nilai artistik sehingga mampu memukau mata menyebabkan namanya begitu dikenali dalam memartabatkan lukisan bermotifkan batik.

Ahmad Fathil Othman, 47, atau lebih dikenali sebagai Padil Osman berkata, dia menghasilkan lebih 2,000 lukisan batik pelbagai saiz sepanjang lebih 30 tahun terbabit dalam bidang berkenaan.

Katanya, pelbagai medium digunakan termasuk cat minyak, warna air dan akrilik sebagai eksperimen dalam menghasilkan lukisan menarik, namun medium batik menjadi pilihan utama kerana keunikan dalam menghasilkan karya itu.

"Saya mengenali batik ketika berusia 18 tahun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila seorang rakan baik yang berbakat dalam lukisan batik mengajak serta mengajar saya mengenai batik. Sejak itu sedikit demi sedikit timbul minat melukis batik.

"Bagi mengembangkan pengetahuan serta mendapatkan pendidikan formal, saya menyambung pengajian di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu dalam bidang batik pada 1997 di Institut Kemahiran Baitulmal Taman Maluri Cheras, Kuala Lumpur selama setahun setengah.

"Saya menyambung pula pengajian ke Institut Kraf Negara di Rawang pada 1999 hingga 2000 dan sehingga kini masih menimba ilmu dengan pelukis lebih berpengalaman," katanya ketika ditemui di galeri lukisannya di Bazar Tok Guru, di sini.

 AHMAD Fathil menghasilkan lukisan  menggunakan pen batik atau canting.
AHMAD Fathil menghasilkan lukisan menggunakan pen batik atau canting.

Bapa dua anak itu berkata, lukisan batik tidak mudah dihasilkan seperti sangkaan umum, malah tidak ramai memiliki kemahiran berkenaan kerana ia memerlukan kesabaran, ketelitian serta penghayatan.

"Kebiasaannya bagi menyiapkan lukisan batik, saya mengambil tempoh antara seminggu sehingga sebulan bergantung kepada saiz lukisan.

"Karya lukisan batik paling popular ialah teknik retak seribu dan harga bagi lukisan dihasilkan serendah RM600 dan mampu mencecah RM21,000 yang pernah dibeli pelancong dari Paris," katanya.

Menurutnya, dia juga menyertai pameran lukisan batik di Singapura, Indonesia, Paris, China, dan Dubai di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) di samping lukisannya pernah dibeli orang kenamaan.

Katanya, sepanjang berkecimpung dalam seni lukisan batik, dia pernah memenangi beberapa hadiah pertandingan melukis anjuran kerajaan Kelantan dan anugerah tokoh alumni IKB termasuk menyertai Piala Seri Indon, Tokoh Kraf Batik 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 7:00 AM