ANTARA kerja dilakukan pelajar dalam program khidmat masyarakat itu.
ANTARA kerja dilakukan pelajar dalam program khidmat masyarakat itu.
Nurul Husna Mahmud


TIDAK mengharapkan bantuan pihak universiti sebaliknya mencari dana sendiri dalam melaksanakan projek kemasyarakatan antara pengalaman dilalui 32 pelajar semester lima Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Cawangan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam menjayakan Projek Dunia Baru itu yang memfokuskan kerja membaik pulih kawasan dan fasiliti bangunan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bestari, Sabak Bernam, Selangor yang kian uzur akibat kerja penyelenggaraan bangunan tertunda disebabkan masalah kekangan dana.

Menurut pengerusi projek, Mohd Noorazlan Fahmie Yaacub, pihaknya berjaya mengumpul dana RM 9,000 menerusi sumbangan korporat dan individu.

“Dana terkumpul itu kami gunakan bagi tujuan kerja penyelenggaraan termasuk membaik kipas, menukar papan tanda dan pagar selain pembelian cat untuk memperindahkan sekeliling tabika berkenaan.

“Tabika ini terpilih selepas mendapat maklum balas daripada salah seorang rakan kami berkenaan keadaan bangunan itu yang sudah lama tidak dilakukan sebarang kerja penyelenggaraan mahupun keceriaan.

PELAJAR melakukan tugasan mengecat bangunan tabika berkenaan.
PELAJAR melakukan tugasan mengecat bangunan tabika berkenaan.

“Sumbangan kami selaku pelajar yang menjalankan projek berkenaan adalah dengan melakukan kerja gotong-royong iaitu membersihkan kawasan dan mengecat bangunan. Sekurang-kurangnya dapat memberi manfaat dan keselesaan terutama kepada guru serta kanak-kanak yang menggunakan bangunan pendidikan terbabit.

“Dalam pada itu kami berharap usaha dilakukan ini dapat memberi contoh kepada anak muda kawasan berkenaan bentuk sumbangan kepada masyarakat yang boleh dilakukan mereka, “katanya.

Selain kerja membaik pulih, Mohd Noorazlan Fahmie berkata, baki dana akan disumbangkan dalam bentuk keperluan pelajar termasuk alat tulis dan keceriaan dalam kelas.

Sementara itu Penasihat Projek berkenaan Lt Kol Dr Noor Azmi Mohd Zainol berkata, meskipun pada awalnya pelaksanaan projek itu bagi memenuhi keperluan subjek kemasyarakatan diambil 32 pelajar, namun impak diperlihatkan termasuk jalinan kemasyarakatan antara siswa dan penduduk setempat itu lebih bermakna.

“Kita sedia maklum keperluan siswa ketika ini bukan sekadar kecemerlangan akademik, tetapi nilai tambah lain iaitu kebolehan mereka untuk mentafsirkan kecemerlangan aduan antara ilmu, teori dan pengalaman ke arah kesejahteraan masyarakat dalam membangunkan prasarana fizikal serta pembangunan insaniah.

“Kejayaan menerusi projek apabila dapat memberi sokongan kepada komuniti iaitu kali ini pihak KEMAS sekali gus memperlihatkan peranan mereka kepada komuniti. Diharap supaya program sebegini kerap dianjurkan semua institusi pengajian tempatan,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat sokongan pihak setempat termasuk Pegawai KEMAS Daerah Sabak Bernam Noraini Tusiran, Penyelia Kanan KEMAS Sabak Bernam Abu Yamin Madar, Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Fasiah Mohd Fakeh dan Sidang Batu 38 Sabak Bernam, Suratin Jabar.

PELAJAR bersama tetamu kehormat yang hadir memberi sokongan.
PELAJAR bersama tetamu kehormat yang hadir memberi sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:03 AM