PAWE Lingga di Sri Aman, Sarawak. FOTO Arkib NSTP.
PAWE Lingga di Sri Aman, Sarawak. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kawasan Parlimen yang belum mempunyai pusat itu.

Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi membolehkan lebih ramai warga emas di seluruh negara mendapat akses kepada kemudahan fasiliti itu untuk menjalankan aktiviti atau program di peringkat komuniti, sekali gus dapat memastikan golongan berkenaan kekal aktif dan produktif.

"Pada masa ini, terdapat 161 PAWE di 146 kawasan Parlimen di seluruh negara, yang dimanfaatkan oleh lebih 52,000 warga emas.

"Kelulusan penubuhan sesebuah PAWE adalah berasaskan lima kriteria utama iaitu lokasi, populasi warga emas, komuniti penggerak, premis dan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah dan negeri," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata, KPWKM berpandangan bahawa peranan yang dimainkan oleh Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) adalah mencukupi setakat ini.

Beliau berkata, MPPWEN yang ditubuhkan di bawah Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN), dianggotai oleh wakil kementerian berkaitan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar geriatrik serta ahli akademik yang pakar dalam bidang warga emas.

"Pelaksanaan DWEN dan PTWEN merupakan agenda tetap dalam mesyuarat majlis (MPPWEN) yang diadakan sebanyak dua kali setahun dan dipengerusikan oleh saya sendiri selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan.

"DWEN dan PTWEN merupakan komitmen kerajaan yang kukuh untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 7:25 PM