ZULKIFLEE daripada seorang akauntan menjadi pembuat kek perkahwinan yang berjaya.
ZULKIFLEE daripada seorang akauntan menjadi pembuat kek perkahwinan yang berjaya.
Hafiz Ithnin

Sebaik sahaja bersara awal sebagai akauntan di Bank Negara Malaysia pada usia 50 tahun, anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini tidak mempunyai sebarang idea untuk menjalankan perniagaan selepas berada dalam dunia korporat selama 26 tahun.

Akhirnya, dia terdetik menceburi bidang makanan iaitu kek yang dilihat mempunyai potensi sebagai satu cabang pendapatan baharu untuknya.

Namun, persaingan sengit menyebabkan perniagaan itu hampir bungkus. Apatah lagi, sudah banyak modal dikeluarkan tetapi jualannya hanya di rumah tidak mendapat sambutan.

Perasaan hampa sememangnya menebal dalam diri sehinggalah Zulkiflee Mawan melihat banyak kek cantik untuk perkahwinan dari luar negara di media sosial.

Bertitik tolak dari situ, dia mula mempelajari cara membuat kek perkahwinan. Bukan di Malaysia sahaja Zulkiflee menimba ilmu. Malah, sehingga ke Itali, Singapura dan Jepun dia berusaha 'menyedut' segala ilmu membuat kek perkahwinan untuk membangunkan perniagaan yang sudah dimulakan.

Zulkiflee berkata, pada 2016 dia mengambil keputusan untuk memperagakan hasil sentuhan kek perkahwinannya di dalam satu pameran perkahwinan. Tidak disangka permintaannya begitu menggalakkan.

"Saya belajar sehingga ke luar negara untuk membuat kek perkahwinan ini kerana bagi saya untuk mendapatkan hasil yang terbaik kita perlu berguru dengan orang terbaik.

"Ternyata usaha saya itu berbaloi dan pada 2016 adalah satu tahun permulaan yang tidak saya akan lupakan kerana ia menjadi titik tolak kepada saya hari ini apabila kek saya sentiasa mendapat sambutan daripada pembeli," katanya.

Katanya, membuat kek perkahwinan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kreativiti yang tinggi dan mengambil masa yang agak lama. Apatah lagi, jika tempahan yang mempunyai perincian tertentu daripada pelanggan.

ANTARA kek tertinggi yang pernah dihasilkan Zulkiflee.
ANTARA kek tertinggi yang pernah dihasilkan Zulkiflee.

"Saya pernah mendapat satu tempahan kek yang mempunyai 12 tingkat dengan ketinggian tujuh kaki. Pelanggan inginkan perincian kek itu mempunyai elemen corak pakaian yang disarungkannya.

"Jadi, saya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan kek berkenaan. Bahan kek adalah proses di peringkat akhir tetapi aksesori seperti ukiran dan bunga aising perlu dibuat lebih awal dan ia mengambil masa yang agak lama," katanya.

Melihat kek yang dihasilkan Zulkiflee, ternyata ia bukan 'biasa-biasa' kerana mendapat permintaan kebanyakannya daripada golongan berpendapatan tinggi dan pernah mendapat tempahan untuk dihadiahkan kepada sultan.

Paling tular pastinya, kek yang disiapkan untuk dihadiahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sempena sambutan hari keputeraan baginda pada tahun lalu.

Kek itu mempunyai elemen perincian seperti tanjak dan pending diraja yang diukir cukup halus untuk diletakkan di atas kek dua tingkat berona kuning berkenaan.

Katanya, kek itu disiapkan dalam tempoh dua minggu dan memerlukan ketajaman mata untuk menghasilkan sebuah karya hiasan yang tidak canggung dengan realiti perhiasan diraja itu.

"Bagi saya ini tempahan sebegini adalah rezeki dan usaha yang dilakukan walaupun pada awal saya terbabit di dalam dunia membuat kek ini penuh cabaran.

"Saya bukan seorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang masakan. Apatah lagi, di dalam seni membuat kek perkahwinan. Namun, kuncinya kita ingin mencari ilmu terbaik dan diterapkan di dalam perniagaan yang ingin dilakukan," kata bapa kepada lima cahaya mata ini.

Katanya, kek perkahwinan cukup mendapat sambutan daripada pasangan pengantin kerana ia menjadi satu elemen penting pada hari yang diraikan itu.

"Di Malaysia tidak kurangnya. Rezeki saya ialah pembeli saya apabila mereka tahu mengenai kemampuan seni yang boleh saya lakukan dan ia dibuat orang Islam serta halal.

"Jadi, mereka ini boleh menempah tanpa was-was dan saya juga ingin menjadikan kek ini sebagai sesuatu kenangan yang terbaik untuk pelanggan," katanya.

Ketika temu bual ini dibuat menerusi panggilan telefon, Zulkiflee baharu sahaja tiba di Kota London, United Kingdom kerana dia sudah membuka butik kek pertamanya di luar negara sejak April tahun lalu.

Katanya, di Malaysia dia sudah mempunyai sebuah butik kek di ibu negara dan ia diuruskan anak sulungnya sementara dia berada di London untuk menguruskan perniagaan di sana memandangkan cawangan baharu itu mendapat sambutan yang positif daripada pelanggan.

"Saya melihat dunia kek ini merubah kerjaya saya sebagai orang pencen. Saya memulakan usaha ini pada usia 50 tahun dan kini saya sudah 60 tahun.

"Bagi saya ilmu seiring usaha adalah sesuatu perkara yang tidak mustahil untuk kita mencapai impian walaupun dari segi angka usia mungkin orang lain melihat sudah lewat untuk menerokai satu bidang yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Tetapi, itulah saya katakan cari ilmu yang terbaik dan kita boleh mendapatkan hasil yang terbaik," katanya.

Lebih manis, seni kek yang dihasilkan Zulkiflee pernah dimuatkan di dalam sebuah media antarabangsa terkenal dan ia menjadi satu pengiktirafan terbesar buat dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:01 AM