DR Abu Bakar tertarik melihat pergerakan robot.
DR Abu Bakar tertarik melihat pergerakan robot.
DR Abu Bakar melancarkan Festival Pembelajaran Steam.
DR Abu Bakar melancarkan Festival Pembelajaran Steam.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Pendidikan sememangnya amat penting untuk menjamin masa depan yang lebih baik kerana melalui ilmu yang diterapkan, kanak-kanak akan membesar menjadi insan lebih sempurna dalam pelbagai aspek.

Sehubungan itu, pusat perkembangan kanak-kanak, The School yang terletak di pusat beli-belah Jaya One melancarkan Festival Pembelajaran Steam sebagai satu inisiatif pendidikan untuk mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (Steam).

Steam adalah lanjutan daripada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Seni yang merupakan satu bentuk pembelajaran berdasarkan kurikulum yang mendapat perhatian sejak sekian lama terutama di Amerika Syarikat.

Pengarah Eksekutif Tetap Tiara Sdn Bhd, Charles Wong iaitu pemaju Jaya One dan The School berkata, festival itu adalah inisiatif bagi menyediakan satu platform untuk membolehkan kanak-kanak diperkenalkan dengan kehebatan lima disiplin ilmu yang wujud dalam kehidupan seharian.

Katanya, festival itu menawarkan peluang memupuk potensi kanak-kanak dan membantu mereka cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Kami berasa amat bersyukur kerana memiliki ramai pendidik yang begitu bersungguh-sungguh dan mempunyai visi sama bagi menyebarkan pendidikan berkualiti untuk masa depan yang lebih baik," tambahnya.

Antara peserta pameran yang mengambil bahagian ialah Roboticist, Science Bridge Academy, F1 In Schools, Development for Schools (Seeds), Universiti Teknologi MARA (UiTM), IACT College, Yamaha Music School, Learning Fresh dan Vivas Magic.

Festival itu juga menjadi pelengkap kepada program 'Science to Action' (S2A) kerajaan dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang diadun dengan subjek seni.

Hasrat acara itu adalah mendorong generasi muda supaya memilih 'Steam' sebagai cabang kerjaya mereka. Integrasi seni ke dalam program itu juga diharap dapat menggalakkan lagi kreativiti yang boleh mendorong kepada pembinaan generasi pencipta.

Acara itu yang dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berlangsung sepanjang Oktober hingga Disember ini.

Festival itu diserikan dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif Infrastruktur Komunikasi Konsortium Jaringan Selangor (KJS), Datuk Ikhwan Salim.

Untuk maklumat terkini mengenai Festival Pembelajaran Steam, sila layari laman web www.theschool.my atau laman Facebook The School di www.facebook.com/theschool.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:01 AM