TIKET perlawanan final Piala AFF Suzuki juga boleh dibeli secara talian.
TIKET perlawanan final Piala AFF Suzuki juga boleh dibeli secara talian.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tanggapan yang mendakwa harga tiket dijual lebih mahal iaitu RM50 untuk dewasa bagi aksi final kedua Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini tidak tepat.

Sebaliknya Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundram berkata, harga tiket untuk perlawanan membabitkan skuad negara itu sebenarnya sudah ditetapkan sejak 2012 lagi.

Menurut Sivasundram, mengikut pecahan, harga tiket paling rendah adalah RM20 untuk perlawanan persahabatan, RM30 bagi perlawanan membabitkan peringkat kumpulan, RM40 untuk perlawanan kalah mati termasuk separuh akhir dan RM50 bagi final.

“Sebenarnya harga tiket RM50 tidak perlu menjadi isu. Kita sudah tetapkan harganya untuk perlawanan membabitkan skuad kebangsaan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini timbul dakwaan FAM sengaja menaikkan harga tiket RM10 berbanding ketika aksi separuh akhir di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu yang dijual dengan harga RM40.

Tiket untuk kanak-kanak bagaimanapun kekal dijual dengan harga RM10.

Sementara itu, Sivasundram berkata, 90,000 tiket diperuntukkan untuk aksi final di Bukit Jalil dengan 2,500 daripadanya diperuntukkan untuk penyokong Thailand.

Jelasnya, penjualan tiket di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 6:44 AM