ORANG ramai berkerumun untuk melihat sendiri kesan kemalangan kereta api di utara India, semalam.
ORANG ramai berkerumun untuk melihat sendiri kesan kemalangan kereta api di utara India, semalam.

Patna: Dua kemalangan kereta api di timur dan utara India meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa, kata polis dan pegawai kereta api, semalam.

Dalam kejadian pertama, sebuah kereta api penumpang merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) di lintasan kereta api tanpa pengawal di Jharkhand, timur India, menyebabkan semua 13 orang di dalam kenderaan itu mati.

Jurucakap polis, SN Pradhan berkata, antara yang terbunuh dalam kemalangan yang berlaku lewat tengah malam itu ialah lima kanak-kanak.

Pradhan menjelaskan polis menyiasat dakwaan saksi kejadian yang mengatakan tayar SUV itu tersangkut di landasan dan dirempuh sebelum mangsa dapat menyelamatkan diri.

Dalam kejadian berasingan, dua kereta api bertembung, membunuh seorang pemandu kereta api berkenaan.

Jurucakap kementerian kereta api India, Neeraj Sharma memberitahu, sekurang-kurangnya 50 cedera dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 60 kilometer ke selatan New Delhi itu.

Penglihatan terhad disebabkan pencemaran dan bermulanya musim sejuk mungkin menyumbang kepada kemalangan itu, katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:56 AM