Sanaa: Serangan udara besar-besaran oleh pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi terkena sebuah pasar di Fayoush, Aden, menyebabkan kira-kira 45 orang awam terbunuh dan lebih 50 lagi cedera.

Penduduk Abu-Ali al-Azibi berkata: “Saya bergegas ke pasar itu sebaik mendengar letupan dan melihat puluhan mayat bergelimpangan. Mereka yang parah dibawa ke hospital berdekatan.

“Darah manusia bercampur dengan darah haiwan yang dijual di pasar itu.”

Sementara itu, serangan yang dilakukan sebelum ini menyebabkan ibu pejabat Parti Kongres Rakyat Am pimpinan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh di Sanaa musnah.

Serangan itu dilakukan serentak dengan lawatan wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed ke Sanaa.

Ismail berada di bandar raya itu untuk mendapatkan persetujuan gencatan senjata sementara sehingga akhir Ramadan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar.

Pembantu Setiausaha Agung parti, Faeqa al-Sayed berkata, ibu pejabat parti itu musnah sama sekali.

“Beberapa petugas terbunuh,” katanya.

Dia menyifatkan serangan itu cubaan untuk menggagalkan perbincangan dengan Ismail.

“Kejadian ini tidak akan membuatkan kami berhenti daripada berusaha untuk mewujudkan persekitaran sesuai bagi bekerjasama dengan PBB,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web parti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 9:01 AM