RAWATAN antiviral membolehkan pesakit AIDS dan penghidap HIV jalani hidup yang lebih baik.
RAWATAN antiviral membolehkan pesakit AIDS dan penghidap HIV jalani hidup yang lebih baik.
RAMAI penduduk kampung Qudeni merahsiakan status HIV, penyakit yang dianggap mencemar maruah.
RAMAI penduduk kampung Qudeni merahsiakan status HIV, penyakit yang dianggap mencemar maruah.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Tahun lalu apabila Eunice Khanyile menawarkan makanan percuma kepada penduduk kampung di Afrika Selatan untuk membantu penduduk yang disahkan HIV positif mendapat khasiat yang mereka perlukan untuk kekal sihat, tidak seorang pun datang.

“Stigma masyarakat terhadap AIDS memang sangat besar. Mereka yang dijangkiti virus itu tidak mahu orang nampak mereka datang ke sini. Tiada siapa yang mahu orang lain tahu status kesihatan mereka,” katanya.

Hari ini, kira-kira 200 orang saja yang datang menikmati hidangan makan tengah hari yang disediakan di dapur bangunan bercat kuning di Qudeni kerana tertarik dengan bau harum walnut putih dan kacang dal serta bunyi orang memasak.

Kini dapur itu memberikan makanan kepada sesiapa saja walaupun Khanyile percaya ramai daripada ‘pengunjungnya’ HIV positif.

“Sesetengahnya HIV positif. Sesetengahnya tidak. Cuma tiada siapa yang mahu mengaku,” kata wanita yang mengendalikan dapur dengan bantuan dan sokongan kerajaan itu.

Di Afrika Selatan, sejak sedekad lalu, diagnosis HIV positif sudah bertukar daripada ‘hukuman mati’ kepada masalah yang boleh dikawal dengan adanya rawatan antiviral yang murah dan mudah diperoleh.

Afrika Selatan menghadapi epidemik AIDS terbesar di dunia, dengan hampir 20 peratus penduduk dewasa HIV positif dan lebih 2.7 juta daripada anggaran 6.3 juta orang yang dijangkiti virus itu kini mendapat rawatan.

Namun stigma masyarakat terhadap penyakit ini masih tidak berubah terutama di kawasan pedalaman seperti Qudeni, kampung terpencil di wilayah KwaZulu Natal di mana ratusan kanak-kanak menjadi anak yatim kerana virus HIV.

Di klinik kesihatan kampung, ramai ibu menolak apabila diberikan suplemen atau makanan tambahan untuk anak mereka yang ternyata mengalami masalah kekurangan zat. Ini kerana ramai percaya, jika makan makanan tambahan berkenaan, mereka adalah HIV positif, kata Jacquline Nludla yang menguruskan klinik kesihatan itu.

Katanya, usaha untuk menubuhkan kumpulan sokongan bagi 300 penduduk yang mendapat rawatan antiviral di klinik berkenaan juga amat sukar kerana sehingga kini hanya 13 orang saja yang mahu menjadi ahli.

“Saya tidak tahu kenapa stigma pada penyakit ini sangat tinggi,” sambung Nludla ketika pesakit tua dan ramai ibu yang membawa anak menunggu dengan sabar tibanya giliran mereka.

Pekerja sosial berkata, keengganan masyarakat bercakap mengenai virus berkenaan mungkin kerana HIV biasanya dilabel sebagai penyakit jangkitan seksual.

Menurut ketua kampung Qudeni, Themba Mchunu, keengganan itu juga disebabkan orang mahu menjaga air muka mereka.

“Dalam budaya kami, orang tidak suka mendedahkan penyakit mereka. Ini soal maruah dan harga diri. Masa saya kecil dulu, kita tidak akan pergi kepada seseorang dan cakap ‘saya lapar’,” katanya dari belakang kaunter di kedai runcit miliknya.

Jadi teladan

Mamtombi Shange, satu-satunya individu HIV positif di Qudeni yang selalu bercakap secara terbuka mengenai statusnya berkata, stigma itu disebabkan rasa takut khususnya apabila bersendirian.

“Orang selalu fikir ‘Apa pasangan saya akan kata? Adakah dia akan meninggalkan saya? Adakah saya akan menemui pasangan hidup yang baru?” katanya.

Berbanding lelaki, wanita lebih ramai menjalani ujian jangkitan virus, biasanya apabila mereka hamil, katanya. Perkara ini diakui pegawai kesihatan di kampung itu. Oleh kerana itulah wanita yang biasanya berdepan dengan pelbagai kemungkinan kerana membawa berita buruk kepada pasangan mereka.

“Jika wanita cakap mereka positif HIV, mereka akan dilihat sebagai punca masalah. Pasangan akan kata ‘Awak datang dalam hidup saya membawa penyakit ini, awak orang jahat,” sambung Shange.

Apa yang lebih menyedihkan, ada kalanya wanita dihalau dari rumah dan ditinggalkan walaupun si suami yang ‘menghadiahkan’ virus itu kepada si isteri.

Atas alasan itulah, ramai amat berahsia mengenai status HIV mereka yang secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pertambahan jangkitan baru, katanya.

“Apabila wanita berjumpa teman lelaki baru dan berfikir mereka sudah menemui cinta, mereka tidak akan memberitahu status ini (HIV). Jadi kitaran ini akan terus berulang,” jelasnya.

Bagaimanapun, bercakap mengenai virus itu, tidak kira betapa menakutkan pun, ada manfaatnya, kata Shange yang memakai kemeja-T kuning dan tinggal di rumah konkrit yang dilengkapi bekalan elektrik dan televisyen.

Dia disahkan positif HIV pada 2007 ketika anak perempuannya berusia empat tahun dan mula mendapatkan rawatan. Dua abangnya yang disahkan positif HIV merahsiakan perkara itu dan sudah meninggal dunia.

Kini selepas hampir satu dekad, dia masih hidup dan anaknya pula sudah berusia 11 tahun. Dia masih rasa sihat. Apa saja perkara memalukan akibat jangkitan itu dikongsi bersama beberapa rakan baiknya yang juga positif HIV.

“Kami bercakap secara terbuka dan kadangkala berjenaka mengenainya,” katanya sambil tersenyum.

Rawatan (ubat) yang diambilnya itu bagaimanapun menyebabkan kemunculan beberapa benjolan pelik dan membuatkan badannya berotot. Perkara itu diangkat sebagai bahan jenaka kerana dia sering memberitahu rakan baiknya, dia sudah menjadi ‘superwoman’.

Sokongan daripada keluarganya juga tidak putus dan ia menjadi ‘senjata’ yang menyukarkan orang lain untuk menyisihkannya.

Pekerja sosial, Nhalni Hlengiwe Dlamini berkata, Qudeni memerlukan lebih ramai orang seperti Shange untuk memecahkan tembok stigma HIV.

“Dia wanita contoh. Dia menunjukkan kepada orang kampung bahawa individu yang ada AIDS/HIV masih boleh meneruskan hidup dengan baik,” katanya. - Thomson Reuters Foundation

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 11:12 AM