PERSEMBAHAN dua jam dalam Konsert Wings : Naga Kramat beri kepuasan berganda kepada penonton.
PERSEMBAHAN dua jam dalam Konsert Wings : Naga Kramat beri kepuasan berganda kepada penonton.
Riadz Radzi & Najiy Jefri


MENONTON Konsert Wings : Naga Kramat di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu membawa penulis mengimbau kenangan lebih 35 tahun lalu.

Pada 1 Februari 1987, Wings yang ketika itu dianggotai Datuk Awie (penyanyi), Syam (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) tampil dengan album sulung berjudul Belenggu Irama.

Ketika itu, penulis antara ribuan penonton yang hadir dalam konsert terawal mereka di Taman Tasek SM Noor, Batu Gajah, Perak bagi mempromosikan album berkenaan.

Waktu itu Awie belum lagi 'sado' dan Eddie masih 'kurus kering', tapi mereka sudah menunjukkan potensi bakal menjadi band rock nombor satu negara.

Malam itu penonton pulang dengan puas kerana Wings membawakan semua lagu dalam album Belenggu Irama.

Sabtu lalu, Wings dengan 'line-ups' yang sama, malah dimantapkan dengan kehadiran pemain gitar, Edrie Hashim dan pemain keyboard undangan, Rozario tetap memberi kepuasan berganda kepada lebih 2,300 penonton.

Persembahan selama dua jam itu terus membuktikan Wings adalah band rock tulen dan masih berbisa dengan kemampuan memberikan persembahan yang cukup mantap.

Ketika anggota Wings memasuki tengah pentas dan mengambil kedudukan mereka, penonton sudah menjerit dan menantikan persembahan pembukaan yang bakal 'menggoncang' konsert yang cukup dinanti-nantikan itu.

Berbanding dulu, Awie kini lebih handal dalam menguasai pentas. Jika dulu, Awie cukup dikenali dengan vokal mantap dan aksi akrobatik di atas pentas, tetapi kali ini Awie lebih menyerlah sebagai penghibur.

Selain vokal 'power', Awie bijak mengawal pentas dan berkomunikasi dengan penonton. Kemampuannya membuat lawak spontan nyata menghiburkan mereka.

Malah watak Husin yang dijayakan dalam siri filem Kampong Pisang juga tidak boleh dipisahkan kerana pasti ada usikan-usikan daripada penonton berhubung watak itu.

Menerusi persembahan demi persembahan yang dibawakan, Awie sering berterima kasih kepada peminat yang hadir kerana mereka tidak henti memberi sokongan padu kepada kumpulan itu.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua peminat yang tidak putus-putus menyokong Wings. Saya harap kalian semua dapat kenang kami sampai bila-bila. Ingat kami," katanya.

Seperti judul konsert ini yang dinamakan Naga Kramat, Wings memulakan aksi lincahnya dengan menyanyikan tiga lagu dalam album Naga Kramat yang diterbitkan pada 2002 selepas Awie kembali menyertai Wings.

Biarpun respon terhadap lagu yang dinyanyikan seakan sedikit sepi pada permulaan, namun kedengaran masih ada yang tahu mengenai lagu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing yang dibawakannya.

Kehangatan semakin mula dirasai sebaik Awie memberikan ucapan pembukaan dan meneruskan persembahan dengan lagu-lagu yang cukup popular dalam kalangan peminat rock yang membesar dengan lagu-lagu Wings.

Antaranya Bernafas Dalam Lumpur; Opera Hidup; Romania; Hukum Karma; Ingatkan Dia; Jerangkung Dalam Almari dan Awang Trasher.

Tidak hanya itu, Wings turut menyanyikan lagu kumpulan rock popular antarabangsa seperti Ares Lament nyanyian Loudness, He's A Woman, She's A Man dan Is There Anybody There nyanyian asal Scorpions.

Aksi lincah yang diberikan Wings ketika berada pentas terbaru yang gah itu harus dipuji kerana energi yang dipamerkan membuktikan usia bukan penghalang untuk mereka menakluki pentas.

Satu perkara yang menarik perhatian pada konsert ini, Awie menyanyikan semua lagu-lagu Wings secara penuh dan tidak dibawakan secara medley.

Awie berjaya menguasai pentas dan memberi persembahan dahsyat dengan jeritan rock yang diekspresikan.

Antara lagu lain yang wajib dipersembahkan turut dihadiahkan kepada peminat pada jam terakhir seperti Harapan; Taman Rashidah Utama; Bujang Senang; Lipas Kudung dan Peronda Jaket Biru

Awie sempat mengusik peminat apabila lagu-lagu yang diminta peminat semuanya begitu bernada tinggi sehingga dirinya boleh mengalami 'buasir'.

Sebaik menyanyikan lagu terakhir berjudul Sejati, Wings kembali ke pentas dan menyanyikan tiga lagu akhir khas buat peminat menerusi lagu Gemuruh dan Dalam Kehadiran Sofea.

Sebagai penutup kepada persembahan, Awie sempat memaklumkan kepada peminat yang hadir untuk mendoakan kesejahteraan kumpulan itu yang

bakal menunaikan umrah pada 16 November depan.

"Doakan semoga kami selamat pergi dan balik daripada mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 6:00 AM