PROGRAM Malam Cinta Rasul Bagan Datoh di Tapak Pasar Malam Bagan Datoh. FOTO Muhaizan Yahya.
PROGRAM Malam Cinta Rasul Bagan Datoh di Tapak Pasar Malam Bagan Datoh. FOTO Muhaizan Yahya.

Bagan Datoh: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai lebih 10,000 orang menghadiri program Malam Cinta Rasul Bagan Datoh Berselawat di Tapak Pasar Malam Bagan Datoh, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berjubah putih tiba 9 malam dalam program anjuran kerajaan negeri, Pejabat Menteri Besar, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pusat Khidmat Parlimen Bagan Datoh.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Anggota Dewan Undangan Negeri Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Program dimulakan dengan bacaan doa serta alunan merdu nasyid, qasidah dan selawat atas Nabi Muhammad SAW dan turut menampilkan tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf.

Sepanjang program itu Syech Abdul Qadir menyampaikan qasidah dan selawat ke atas Rasulullah SAW antaranya Ya Rasulullah Ya Nabi, Ya Hanana, Nurul Musthofa dan Ya Habib yang kebanyakannya dipetik menerusi beberapa album qasidahnya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 10:57 PM