BACAAN qasidah dan berzanji antara perkara yang sering dilakukan dalam majlis keagamaan termasuk maulid Nabi SAW.
BACAAN qasidah dan berzanji antara perkara yang sering dilakukan dalam majlis keagamaan termasuk maulid Nabi SAW.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara pengisian majlis maulid Nabi SAW ialah selawat dan pujian kepada baginda SAW. Perbuatan memuji baginda dengan menyebut segala sifat kesempurnaan dan keistimewaan yang dimilikinya, hatta dalilnya daif sekalipun tidaklah termasuk perbuatan yang melampau. Ini kerana had yang ditetapkan oleh Nabi SAW sendiri menunjukkan bahawa perbuatan memuji yang melampau (itra') itu ada kaitannya dengan meletakkan sifat ketuhanan pada baginda. Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu sekalian melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam, tetapi katakanlah: Hamba Allah dan rasul-Nya." (Riwayat al-Bukhari, al-Darimi, Ahmad dan lain-lain)

Makna hadis ini jika tidak dicermati dengan teliti boleh difahami bahawa Nabi SAW melarang daripada memuji baginda. Maka, orang yang memahami demikian mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau. Malah, dianggap sikap berlebihan yang dicela agama dan boleh mengakibatkan syirik. Bagi mereka, orang yang memuji Nabi SAW, mengangkat kedudukannya melebihi manusia lain, menyanjung dan menyifatkan baginda dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia lain, bererti telah melakukan bidaah dalam perkara agama dan menyalahi sunah baginda.

Lantaran itu, banyak kitab selawat seperti Dala'il al-Khairat oleh Imam al-Juzuli dan Sa'adah ad-Darain oleh Imam al-Nabhani, serta nazam memuji Nabi SAW seperti Qasidah al-Burdah oleh Imam al-Busiri dan Mawlid Imam al-Barzanji dilabel sebagai syirik atau mengandungi unsur syirik oleh golongan Wahhabi. Sedangkan tanggapan berkenaan tidak benar sama sekali.

Inilah antara kesan pemahaman yang salah terhadap hadis tersebut dan bukti kecetekan pandangan orang yang menafsirkannya. Sedangkan, maksud sebenar hadis ialah Nabi SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa baginda itu adalah anak Allah.

Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa baginda SAW adalah hamba Allah dan utusan-Nya, serta menjauhi keyakinan dan kepercayaan golongan Nasrani, maka jelas dia adalah orang yang sempurna imannya.

Maksud sebenar kalimah itra' menurut ramai ulama ialah puji-pujian melampau yang mengandungi perkara dusta dan batil. Adapun puji-pujian yang tidak mengandungi perkara itu, malah ia disaksikan oleh dalil jelas, maka ia tidak termasuk dalam makna hadis di atas. Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari: "Itra' ialah memuji dengan perkara yang batil." Makna sabdanya: "Sebagaimana orang Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam", iaitu pada dakwaan mereka adanya sifat ketuhanan pada baginda.

Jika diteliti, jelas dalam hadis itu sendiri sudah ada batasan yang boleh dijadikan garis sempadan antara pujian melampaui batas dan pujian tidak melampaui batas. Inilah yang ditegaskan oleh Imam al-Busiri dalam qasidahnya yang masyhur: "Tinggalkanlah cara dakwaan orang Nasrani terhadap nabi mereka. Sebaliknya, berikanlah pujian terhadap baginda SAW sebagaimana yang engkau kehendaki dengan berhikmah." Maksud beliau, jangan katakan Nabi SAW itu mempunyai sifat ketuhanan sepertimana dakwaan orang Kristian terhadap Nabi Isa AS. Namun, katakan baginda SAW itu mempunyai pelbagai sifat kesempurnaan dan keistimewaan seolah-olah tiada had baginya yang mampu diungkapkan oleh seorang pun dek sangat banyaknya dalil yang menunjukkan demikian. Walaupun diketahui zahir diri baginda itu manusia, namun Rasulullah itu sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya.

Dalam al-Quran juga terdapat banyak pujian terhadap Nabi SAW yang jelas menunjukkan perbuatan memuji Nabi SAW itu sendiri ditunjukkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya, seperti firman-Nya: "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia." (Surah al-Qalam: 4)

Dalam kalangan sahabat RA juga terdapat mereka yang memuji Rasulullah SAW dan baginda menunjukkan redanya terhadap perbuatan itu, seperti Hassan bin Thabit RA dan Ka'ab bin Zuhair RA dengan qasidahnya yang terkenal, 'Banat Su'ad' yang diriwayatkan oleh Ibn Daizil, al-Hakim dan Ibn Abi Asim dalam al-Ahad wa al-Mathani dengan sanad yang daif, namun jalan riwayatnya yang pelbagai dapat menguatkan antara satu sama lain.

Ringkasnya, amalan memuji Nabi SAW adalah perbuatan yang dibolehkan dan digalakkan. Ia hakikatnya tidak terpisah daripada kewajipan mencintai baginda SAW sebagaimana sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya lebih daripada bapanya, anaknya dan juga manusia seluruhnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:30 AM