FOTO Bernama
FOTO Bernama

Valleta (Malta): Belia warga Malaysia dipilih sebagai Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) yang baru untuk penggal 2015-2017.

Kishva Ambigapathy, 25, seorang jurutera, dipilih sebagai ketua pasukan yang baru pada Forum Belia CYC, di sini baru-baru ini.

Kedudukan itu menjadikan beliau sebagai belia pertama dari Asia menyandang jawatan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menganggap pelantikan itu sebagai satu kebanggaan bagi Malaysia sambil menambah ia juga berupa pengiktirafan global kepada kepimpinan belia Malaysia.

“Kishva Ambigapathy ialah pemimpin masa kini dan masa depan, negara perlu melahirkan lebih banyak pemimpin muda seperti beliau,” katanya selepas dialog sarapan dengan pemimpin negara di luar acara Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM,) di sini.

Oleh kerana CYC mewakili badan belia kebangsaan daripada 53 negara anggota, pemilihan itu meletakkan beliau bertanggungjawab memimpin lebih 1.2 bilion belia dari negara anggota Komanwel bawah 29 tahun.

Anak muda kelahiran Pulau Pinang itu memegang ijazah kejuruteraan elektronik Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2010.

Beliau kini mengikuti program sarjana dalam bidang kajian global politik di Durham University di England.

“Manifesto saya adalah jelas, apa sahaja isu yang dibincangkan pada Forum Belia Komanwel, kami akan berbuat demikian,” kata Kishva.

Kishva berkata semasa pertemuan singkat dengan Ahmad Zahid, beliau telah melahirkan hasratnya untuk menempatkan semula sekretariat CYC dari Sri Lanka ke Kuala Lumpur.

“Malaysia mempunyai beberapa pertubuhan belia antarabangsa termasuk Majlis Belia ASEAN.

“Dengan menempatkan semula pejabat tersebut, ia akan memberi manfaat kepada negara serta CYC dalam merealisasikan pelan tindakannya,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 9:52 AM