SET meja dan kerusi praktikal ini sesuai untuk kafe, restoran atau ruang kediaman.
SET meja dan kerusi praktikal ini sesuai untuk kafe, restoran atau ruang kediaman.
KELAINAN produk sentiasa menjadi keutamaan Mohd Khasfullizam.
KELAINAN produk sentiasa menjadi keutamaan Mohd Khasfullizam.
REHAL dan almari antara produk The Kayu Pallet.
REHAL dan almari antara produk The Kayu Pallet.
PRODUK yang dihasilkan sentiasa ditingkatkan kualitinya.
PRODUK yang dihasilkan sentiasa ditingkatkan kualitinya.
DINDING kediaman menarik dengan kemasan kayu palet.
DINDING kediaman menarik dengan kemasan kayu palet.
MOHD Khasfullizam di gudang kayu paletnya.
MOHD Khasfullizam di gudang kayu paletnya.
Hartini Mohd Nawi


Anak kelahiran Alor Setar dan menetap di Pulau Pinang ini bagaikan tidak percaya dengan pencapaian dikecapinya hari ini, seterusnya menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha keras.

Menghasilkan perabot secara kecil-kecilan di rumah dan banyak berurusan dengan pelanggan secara dalam talian, hari demi hari Mohd Khasfullizam Md Saad, 33, kental dengan setiap cabaran dilalui.

“Set meja makan Jepun menjadi perabot pertama yang pernah saya hasilkan. Mengenang kembali, nyata peluang yang terbentang di depan mata perlu direbut sebaik mungkin kerana setiap manusia mempunyai cita rasa berbeza,” katanya.

Sebut saja Bunga Lawang Damya Enterprise, ia begitu sinonim dengan produk The Kayu Pallet yang dimiliki anak muda ini.

Bercerita panjang mengenai pembabitan dalam dunia perabot dan perhiasan berasaskan kayu palet, Mohd Khasfullizam yang berpengalaman 12 tahun sebagai kakitangan kilang panel solar, yakin dengan kemampuan serta kreativitinya.

Bergelar jurugambar sambilan untuk majlis perkahwinan suatu ketika dulu dilihat sebagai titik permulaan dia menceburkan diri sebagai pengusaha kayu palet yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.

“Semuanya bermula apabila saya berdepan situasi sukar mendapatkan perhiasan sesuai untuk melengkapkan sesi penggambaran pengantin.

“Tidak mudah kalah dan ingin menjadi yang terbaik, saya anggap ia sebagai cabaran yang perlu dilalui secara profesional, lalu mendorong saya pergi ke beberapa kilang di kawasan sekitar bagi mendapatkan kayu palet terpakai.

“Daripada proses mencari material hingga penghasilan perabot palet terpakai saya sendiri yang melakukannya. Dari situ tercetus idea untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang ini, pertengahan tahun lalu,” katanya.

Lebih membanggakan, beliau turut dibantu rakannya, Jamil Ramli pengurus pengeluaran Bunga Lawang Damya Enterprise.

Rekaan eksklusif

Tidak menafikan kayu palet terpakai daripada pelbagai jenis termasuk pain atau oak mempunyai tarikan tersendiri.

“Sebut saja kayu palet, kita sudah membayangkan keistimewaannya yang menjadi elemen dalam membangkitkan aura natural tidak kira sama ada dalam rumah, kedai, kafe, pejabat atau sudut taman.

“Ini ditambah dengan ketahanan semula jadi kayu palet yang tahan lasak dan sesuai dengan pelbagai konsep dekorasi atau taman,” kata Mohd Khasfullizam yang tetap yakin di mana-mana pun kayu palet memang menjadi pilihan utama.

Bagi yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan kafe atau restoran, memilih kayu palet sebagai perabot dan hiasan antara pilihan terbaik kerana ia lebih menjimatkan.

“Peka dengan keadaan itu membuatkan produk The Kayu Palet kami menampilkan rekaan selari dengan permintaan pelanggan.

“Semestinya ia rekaan praktikal dan eksklusif menjadi fokus utama kerana produk berasaskan kayu palet mempunyai peminat daripada pelbagai lapisan usia.

“Tidak kurang yang menggemari rekaan berkonsepkan moden dan kontemporari. Ini yang menambahkan keterujaan generasi muda memilikinya biar pun sekadar meja pelbagai guna yang dijadikan tempat meletak komputer,” katanya yang bukan saja membekalkan material kayu palet ke seluruh negara, malah Brunei dan Singapura.

Anda yang berminat untuk melihat kepelbagaian rekaan produk The Kayu Pallet boleh mengunjungi ruang pamerannya di No 94, Lorong Pinggiran, Taman Bertam Perdana, Kepala Batas, atau layari Facebook Kayu Pallet untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:02 AM