KAYU terpakai turut berfungsi sebagai pagar taman.
KAYU terpakai turut berfungsi sebagai pagar taman.
KEINDAHAN taman karat cukup memukau pandangan pengunjung.
KEINDAHAN taman karat cukup memukau pandangan pengunjung.
TAMAN yang indah tidak semestinya memerlukan ruang luas.
TAMAN yang indah tidak semestinya memerlukan ruang luas.
GAMBARAN awal ketika proses pembinaan landskap taman.
GAMBARAN awal ketika proses pembinaan landskap taman.
SEMUA elemen terpakai digabungkan dalam taman karat ini.
SEMUA elemen terpakai digabungkan dalam taman karat ini.
ANTARA proses susun letak tanaman dalam pasu.
ANTARA proses susun letak tanaman dalam pasu.
MUHAMAD ADLI SALIHIN (depan) bersama sebahagian yang terbabit dengan projek MBOR 2016 iaitu pegawai, kakitangan Jabatan Pertanian dan pelajar Institut Pertanian Serdang.
MUHAMAD ADLI SALIHIN (depan) bersama sebahagian yang terbabit dengan projek MBOR 2016 iaitu pegawai, kakitangan Jabatan Pertanian dan pelajar Institut Pertanian Serdang.
Hartini Mohd Nawi


Kreativiti mencipta landskap sering mencetuskan idea di luar kebiasaan yang secara tidak langsung memanfaatkan setiap elemen di sekeliling tanpa perlu berbelanja besar.

Segalanya bergantung kepada kepekaan anda sebagai pencinta landskap. Dalam erti kata lain, mengilhamkan binaan landskap yang mengembalikan keindahan semula jadinya.

Taman yang indah tidak semestinya memerlukan ruang luas, cukup sekadar kebijaksanaan menyusun atur setiap elemen landskap asalkan sedap mata memandang.

Masing-masing punyai cita rasa berbeza dan ia antara faktor mendorong terbinanya landskap seperti yang anda impikan.

Bercerita mengenai landskap juga tidak pernah ‘basi’ atau lapuk ditelan zaman kerana persekitaran yang segar memberikan seribu satu ketenangan sepanjang masa.

Tidak terkecuali binaan taman karat (rustik) yang mengujakan pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2016 (MAHA 2016) baru-baru ini.

Menerusinya, Jabatan Pertanian membina arca menggunakan pelbagai barangan terpakai seperti tayar, kayu palet, bingkai tingkap, pintu lama dan besi buruk.

Biasanya semua elemen itu dibuang begitu saja dan boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar atau menjadikan tempat pembiakan nyamuk.

Keunikan itu membuatkan ia diiktiraf sebagai taman terpanjang berasaskan produk bahan terpakai dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sempena MAHA 2016.

Pengurus projeknya Muhamad Adli Salihin Samsudin berkata, secara simboliknya, setiap barangan terpakai yang diketengahkan itu mewakili tiga elemen utama.

“Barangan seperti besi buruk dan kayu palet mewakili elemen perindustrian, pintu dan tingkap terpakai mewakili elemen perumahan dan komuniti, sementara tayar terpakai pula elemen pengangkutan.

“Semua tiga elemen ini antara penyumbang utama kepada proses pencemaran alam sekitar jika tidak diurus dengan baik,” katanya.

Beliau berkata kombinasi dengan tanaman hiasan lebih menjurus kepada tanaman yang boleh dimakan.

“Selain menjadi keperluan utama dalam masakan seharian, tanaman berkenaan tentunya dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Ia melalui keseimbangan dalam projek pembangunan dan dapat memberi kesan menarik kepada arca ini,” katanya.

Selain itu, ia turut memberikan idea kepada anda melakukan aktiviti penanaman tanaman yang diboleh dimakan.

Walaupun bukan di atas tanah atau halaman, anda masih boleh bercucuk tanam dengan memanfaatkan sebaik mungkin ruang yang ada untuk susun atur pasu atau tanaman gantung dan vertikal.

“Di atas keperluan itu jugalah kami mengambil inisiatif menggunakan barangan terpakai yang senaraikan tadi untuk menghasilkan arca terpanjang sepanjang 100 meter.

“Bermotifkan taman karat dalam konsep kitar semula sebagai usaha membantu segmen pemuliharaan alam sekitar.

“Pada masa sama turut dihiasi tanaman makanan, sekali gus dapat memberi gambaran aktiviti pertanian juga boleh membantu dalam memulihara alam sekitar.

“Begitu juga dengan elemen utamanya kerana ia antara barangan yang mudah didapati dan murah serta boleh digunakan untuk menjayakan aktiviti pertanian,” katanya yang juga Penolong Pengarah Seksyen Florikultur, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang itu.

Malah Muhamad Adli Salihin tidak menafikan usaha pembinaan taman karat itu mengambil masa lebih kurang 30 hari untuk dibina dan kagum dengan kegigihan semua pihak yang terbabit.

Berdasarkan pengalaman menjayakan MBOR 2014 yang lalu, kali ini pembinaan taman karat dibina seteliti mungkin bermula pada 1 November hingga siap sepenuhnya pada 25 November lalu.

“Bukan satu tugas dan amanah yang mudah kerana setiap daripadanya memerlukan ketelitian dan kesungguhan terbaik hingga terhasilnya taman seperti anda lihat ini.

“Secara keseluruhannya taman ini menggunakan 1,000 tanaman berpasu yakni pasu semaian,” katanya.

Tanaman itu kemudian disusun secara konvensional iaitu di atas tanah dan susun aturnya secara vertikal termasuk menggunakan elemen seperti tayar dan besi.

Sudah tentu, idea binaan taman karat ini memberikan ‘keterujaan’ baru buat generasi muda kerana ia bukan saja mudah diketengahkan, memerlukan kreativiti atau di luar kebiasaan serta lebih mesra ‘orang muda.’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:04 AM