Oleh Sudirman Mohd Tahir dan Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Dengan sekali lafaz, pelakon Maria Farida, 46, sah bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Rahman, 62, pada jam 11 pagi ini.

Pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf Club (KLGC) Bukit Kiara itu, Maria menerima mas kahwin RM2,000 beserta sebentuk cincin.

Bagaimanapun tiada wang dan dulang hantaran diberikan pihak lelaki.

Majlis pernikahan pasangan itu disaksikan anak-anak, ahli keluarga dan rakan artis iaitu Datin Sri Tiara Jacquelina, Fasha Sandha dan Ferhad.

Difahamkan enam anak Rahman hasil perkahwinan terdahulu turut hadir bagi meraikan hari bahagia bapa mereka.

Selesai upacara itu, tetamu yang hadir diraikan dalam majlis ringkas. Pasangan itu juga dikatakan tidak mengadakan majlis persandingan.

Pelakon drama Dhia Sofia ini tampil anggun dalam busana rekaan Cosry.

Hasil perkahwinan terdahulu Maria dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 18 tahun. Perkahwinan turut mengakhiri statusnya yang sudah 10 tahun menjanda.

Terdahulu, tercetus kekecohan apabila seorang wanita yang mengakui dirinya isteri Rahman tampil dengan kenyataan di laman sosial mengatakan Maria merampas suaminya.

Maria bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menegaskan pasangan terbabit bercerai kerana masalah peribadi dan tiada kaitan dengannya.

Dia turut mendedahkan sudah bertunang dengan Datuk Rahman namun tidak memaklumkan tarik pernikahan.

Maria yang dihubungi menerusi panggilan telefon serta aplikasi WhatsApp bagaimanapun tidak memberikan sebarang reaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 8:32 PM