PASUKAN penyelamat menyusun mayat mangsa yang ditemui tertimbus.
PASUKAN penyelamat menyusun mayat mangsa yang ditemui tertimbus.
AFP

Yangon: Askar, polis dan sukarelawan semalam menarik keluar mayat demi mayat dari runtuhan tanah di utara Myanmar sementara jumlah kematian akibat kejadian tanah runtuh berhampiran kawasan lombong jed awal Sabtu lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 113.

Pegawai tempatan berkata, lebih 100 lagi masih hilang.

Kejadian di kawasan perlombongan batu berharga itu di Hpakant di negeri Kachin itu adalah yang paling buruk pernah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Mayat dibawa ke rumah mayat berhampiran, tempat rakan dan anggota keluarga berusaha mengenal pasti mangsa.

Ada yang dikebumikan di tanah perkuburan tempatan sementara yang lain dibakar.

Bagaimanapun, masih banyak lagi mayat yang dibungkus dengan plastik biru belum dikenal pasti.

Pegawai pentadbir tempatan Nilar Myint berkata, sehingga semalam, 113 mayat ditemui dengan lebih 100 masih hilang.

“Mayat masih ditarik keluar dari kawasan runtuhan, seolah-olah tidak ada penghujung. Penduduk tempatan semakin marah kerana terlalu banyak mayat,” katanya.

Kachin kaya dengan jed paling berkualiti di dunia dan industri itu menghasilkan pendapatan sebanyak AS$31 bilion (RM133 bilion) tahun lalu dengan kebanyakan kekayaaan diraih oleh individu atau syarikat yang ada hubungan dengan bekas pemerintah tentera Myanmar.

Hpakant, 950 kilometer ke timur laut Yangon, bandar terbesar Myanmar, ialah pusat industri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:37 AM