Jika ibu bapa anda berstatus selebriti ter­kenal Hollywood, kehidupan anda bukan saja terlihat istimewa, bertuah dan mewah, tetapi akan kehilangan ruang 'privacy' sejak kecil.

Ini kerana 'paparazi' akan mengekori dan merakam gambar ibu bapa anda di mana-mana saja, sekali gus membuatkan anak turut terkena tempiasnya.

Mengisi ruangan Moda minggu ini ialah anak-anak selebriti Hollywood yang mewarisi aura ibu atau bapa mereka dan diramal akan meneruskan legasi orang tua mereka.

Menduduki senarai teratas Waris Selebriti Paling Bergaya adalah anak kedua pasangan David Beckham dan Victoria iaitu Romeo.

Romeo menggegarkan industri fesyen antarabangsa apabila muncul sebagai wajah jenama mewah, Burberry sempena keluaran Burberry Prorsum yang dilancarkan secara besar-besaran, baru-baru ini.

Dikatakan paling iras dengan wajah bapanya berbanding tiga beradik yang lain, Romeo berjaya meningkatkan jualan Burberry sebanyak 13 peratus.

Ketua Pegawai Kreatif Burberry, Christopher Bailey berkata, Romeo bukan saja memiliki personaliti yang semula jadi menarik untuk dikete­ngahkan sebagai peragawan, tetapi juga tertib dan merendah diri.

Walaupun terbiasa dengan kemewahan, namun Romeo menolak untuk menyarungkan pakaian yang dirasakan tidak selesa dipakai dengan pertuturan yang berhemah.

Dia tidak menolak de­ngan mengatakan dia tidak suka, tetapi memberitahu 'mungkin ada lain yang lebih sesuai'.

Seusia Romeo, gadis yang diberi gelaran mini Cindy Crawford, Kaia Gerber, 13, memiliki personaliti dan raut kecantikan saling tidak tumpah seperti ibunya itu.

Diramal bakal menjadi peragawati terkenal sebagaimana Crawford yang mencetuskan fenomena di pentas peragaan, hakikatnya Kaia sudahpun mencipta profil yang hebat sebagai model apabila menjadi pilihan Donatella Versace untuk memperagakan label Young Versace bagi musim bunga, Oktober lalu.

Mereka ibarat pasangan kembar apabila berdampingan. Itulah Ava Phillippe, 15, dengan ibunya, pelakon Reese Witherspoon.

Dia bukan saja mewarisi keayuan dan kecantikan Witherspoon, tetapi mereka juga memiliki cita rasa fesyen yang sama.

Baru saja melangkah usia 18 tahun, Lourdes Leon anak gadis kepada ratu pop Madonna bukan saja mahu mengikuti jejak langkah ibunya dengan menjadikan muzik sebagai karier apabila mengikuti kursus muzik di University of Michigan, tetapi dilihat amat terpe­ngaruh dengan gaya ibunya yang unik.

Sementara Knox yang baru berusia enam tahun, anak kandung serta anak tunggal lelaki bagi pasangan Brat Pitt dan Angelina Jolie sudah menampakkan gaya seorang bintang.

Pun begitu bercakap mengenai 'Waris Selebriti Paling Stylo' semestinya aktor remaja, Jaden Smith, 16, adalah pilihan yang tepat.

Sentiasa hadir dengan gaya lain daripada yang lain seperti bapanya, Will Smith juga antara aktor kulit hitam paling berpengaruh, kemampuan Jaden mahupun bapanya atau ibunya iaitu aktres Jada Pinkett dalam berfesyen tidak mampu mendahului keberanian Willow Smith, 13.

Anak gadis Will itu mencipta nama sebagai penya­nyi rapper wanita termuda.

Turut disenaraikan dalam pilihan Moda ialah Jennifer Lopez dan anak­nya Emme Maribel, 6; Kim Kardashian bersama North West, 1; Jude Law dan Raf­ferty Law, 18; Katie Holmes dan Suri Cruise, 8; Nicole Richie dan Harlow Madden, 6; Kate Beckinsale dan anak gadisnya, Lily Sheen, 15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:00 AM