ANAK selebriti dengan rupa paras menarik tempa nama sebagai model.
ANAK selebriti dengan rupa paras menarik tempa nama sebagai model.
Syafil Syazwan Jefri


Bergelar anak kepada selebriti terkemuka Hollywood sedikit sebanyak memberikan tempias populariti kepada mereka.

Mungkin kerana nama besar ibu bapa, mereka membesar dan mencuri perhatian pengikut industri hiburan dunia, sekali gus mampu mencipta nama sendiri.

Ada dalam kalangan anak ini mengikut jejak ibu bapa mereka yang pernah bergelar model.

Namun, ada juga yang terdiri daripada anak pelakon dan penyanyi popular.

Berikut 10 anak selebriti Hollywood yang membesar dengan rupa paras menarik dan berjaya sebagai model.

1. Kaia & Presley Gerber

Siapa tidak mengenali supermodel terkemuka, Cindy Crawford. Hasil perkahwinannya dengan suami Rande Gerber, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Kaia, 15,(kiri) dan Presley Gerber, 17.

Kedua-dua anak pasangan ini memulakan langkah sebagai model pada 2015. Setahun kemudian, Kaia menghiasi beberapa muka surat dalam majalah Love, edisi Julai sebelum menjadi penghias muka hadapan majalah Pop, sebulan selepas itu.

Kaia juga menganjurkan kempen untuk label Miu Miu pada Jun. Sementara itu, Presley pula menghangatkan pentas peragaan di Moschino pada bulan yang sama.

2. Gigi, Bella & Anwar Hadid

Gigi, Bella dan Anwar Hadid anak kepada model serta bintang Real Housewives of Beverly Hills, Yolanda Foster yang berkongsi hidup bersama suami, Mohamed Hadid.

Gigi, 21, (kiri), menjadi penghias muka hadapan isu Ogos 2016 majalah Vogue, menjadi pembuka dan penutup pentas peragaan di Minggu Fesyen New York serta pada masa sama bergelar duta jenama Maybelline.

Bella, 19, pula menjadi wajah jenama Dior Makeup, Calvin Klein dan pernah menjadi penghias kulit hadapan majalah Elle serta Allure.

Anwar, 17, pula tidak kurang hebatnya apabila turut bersama-sama menghangatkan pentas peragaan di Moschino bersama Presley Gerber pada Jun lalu.

3. Jaden & Willow Smith

Kedua-duanya anak Will dan Jada Pinkett Smith ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Selain bergelar pelakon sejak usia kanak-kanak, Jaden, 18,(kiri) dan Willow, 15, pernah muncul dalam beberapa kempen iklan untuk jenama besar dunia antaranya Louis Vuitton dan Chanel.

Mungkin nama mereka sebagai model tidak segah anak selebriti lain, namun disebabkan memang sudah memanjat populariti sejak kecil, tentunya kedua-duanya berjaya mencuri tumpuan dunia apabila memperagakan sesuatu jenama.

4. Brooklyn & Romeo Beckham

David dan Victoria Beckham sentiasa mencuri tumpuan dunia, bukan sahaja menerusi kejayaan mereka dalam karier, tetapi juga apabila kedua-duanya diangkat mewakili jenama besar dunia.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Dua anak mereka, Brooklyn, 17, dan Romeo, 14, juga nampaknya mengikut jejak kedua-dua orang tua mereka.

Brooklyn (kanan), membuat kemunculan sulungnya dalam bidang peragaan dengan menjadi penghias muka depan Man About Town pada 2014.

Sementara itu, Romeo pula menjadi model yang memperagakan koleksi musim bunga dan panas Burberry pada 2013 dan pada ketika itu, dia baru sahaja berusia 10 tahun.

5. Iris Law

Iris Law, 15, anak kepada aktor, Jude Law dan bekas isterinya, Sadie Frost.

Iris pernah mewakili jenama besar Britain, Illustrated People dan muncul dalam beberapa muka surat majalah Teen Vogue bulan ini.

Selain bergelar model, dia juga jurugambar yang sangat kreatif. Bukan sahaja menjalankan tugasnya mengambil gambar, Iris juga gemar menambah perincian pada hasil gambar yang diambilnya menggunakan cat minyak.

Menurutnya, dia gemar menampakkan keaslian subjek yang berada dalam gambar yang diambilnya dan sering memberikan penekanan bahagian mata serta urat-urat.

6. Lourdes Leon

Jika ibunya, Madonna dikenali sebagai ratu pop dunia, Lourdes Leon pula menggegarkan pentas peragaan dunia.

Lourdes, 19, anak hasil perkahwinan Madonna dan Carlos Leon pertama kali muncul sebagai model dan wajah jenama wangian milik Stella McCartney, Pop pada Julai lalu.

Bermula dari itu, Lourdes melebarkan sayapnya sebagai model dengan memperagakan koleksi pakaian untuk remaja milik ibunya, Material Girl.

7. Kendall Jenner

Nama Kendal Jenner diperkenalkan kepada dunia menerusi kemunculannya dalam program realiti keluarganya, Keeping Up With the Kardashian. Pada waktu itu, dia baru sahaja berusia 11 tahun.

Sejak dari itu, Kendall, 20, mula mencipta namanya sendiri, setanding dengan adik-beradiknya yang lain.

Menjengah ke usia 20 tahun, Kendall berjaya menempatkan namanya sebagai duta untuk jenama EstÈe Lauder dan menjayakan beberapa iklan kempen untuk jenama besar lain antaranya Marc Jacobs dan Fendi.

Bulan ini, wajah anak kepada Kris dan Caitlyn Jenner ini menghiasi muka hadapan Vogue.

8. Lily Rose Depp

Bonus buat Lily Rose Depp, 17, kerana memiliki ibu bapa yang kacak serta jelita dan dia sendiri mewarisi bakat sebagai model daripada ibunya.

Anak kepada pelakon, Johnny Depp dan model Vanessa Paradis ini pertama kali muncul sebagai model bagi memperagakan cermin mata jenama Chanel pada tahun ini.

9. Sofia Richie

Kalau bapanya mencipta nama sebagai penyanyi dan kakaknya sebagai pereka fesyen serta personaliti TV, Sofia Richie memilih jalan untuk bergelar model.

Tahun lalu, Sofia, 18, menjadi wajah untuk jenama Material Girl milik penyanyi, Madonna.

10. Scott Eastwood

Anak kepada Clint Eastwood ini memang mengikut jejak langkah bapanya dan bergelar pelakon.

Namun, Scott, 30, juga sebenarnya turut memegang gelaran sebagai model.

Bintang The Longest Ride ini pernah bergelar wajah jenama wangian Davidoff Cool Water pada Februari tahun lalu dan sebelum itu, memperagakan wangian daripada jenama Hugo Boss.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 5:02 AM