Oleh Dang Setia

Saya bergaduh dengan kakak ipar disebabkan tuduhannya mengatakan saya ‘guna-guna’ suami. Dia menuduh saya menggunakan ilmu penunduk terhadap suami agar turuti perintah saya. Padahal saya tidak pernah melakukan hal syirik berkenaan.

Tidak tergamak saya membuat perkara dilaknat itu. Saya masih ingat Allah dan hanya mendoakan yang terbaik untuk suami.

Saya rasa tanggapan itu timbul disebabkan suami enggan meminjamkan duit padanya.

Sebenarnya Dang Setia, suami pernah merungut kakak ipar boros serta gemar meminjam wang dengannya.

Kakak ipar belum berkahwin tetapi gemar membeli barangan berjenama biarpun di luar kemampuan.

Namun, dia tidak wajar menuduh saya menyihir suami hanya kerana suami enggan membantu. Ibu mentua memandang serong terhadap saya disebabkan termakan hasutan kakak. Saya buntu dan suami hanya meminta saya berdiam diri.

NASHA, Seremban, Negeri Sembilan

Dosa memfitnah lebih besar daripada membunuh. Itu jelas disebut dalam firman Allah, “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah Al-Baqarah: 191)

Lihat sendiri bahana yang puan perlu tanggung, bukan saja sakit hati, malah orang sekeliling memandang serong. Simpati Dang Setia dengan sikap buruk kakak ipar mementingkan diri mahupun menjadi hamba kepada sikap borosnya.

Sebaiknya dia muhasabah dan menginsafi khilaf diri. Bukannya menyalahkan orang lain disebabkan kelemahan diri. Bagi Dang Setia, puan kena menasihati kakak ipar dan meminta suami menegur perilaku buruknya yang mendatangkan masalah kepada keluarga puan.

Mohon suami lebih bersikap tegas dengan kakak ipar.

Selain itu, minta dia memberi penjelasan mengenai tuduhan yang dilemparkan. Usah berdendam dan mohon kakak ipar diberi petunjuk mengenai sikap­nya gemar memfitnah itu agar bertaubat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 1:01 AM