Oleh Dang Setia

Saya gadis berusia 29 tahun masih tidak menemui pasangan sesuai sebagai suami. Dari segi kewangan, saya tidak ada masalah membantu pasangan. Saya pernah bercinta dua kali namun kedua-duanya melukakan hati saya.

Cinta pertama ialah kekasih sejak zaman sekolah sehingga universiti. Rumahnya tidak jauh dari rumah saya. Kami putus akibat salah faham antara orang tua kami. Kami berpisah disebabkan tekanan orang tua yang tidak mempunyai hubungan baik.

Hubungan dengan kekasih kedua terjalin ketika di universiti hinggalah kami bertunang. Hatinya berubah apabila mengenali wanita lain yang juga rakan sekerjanya. Dia tidak memutuskan pertunangan kami, sebaliknya terus mengahwini wanita berkenaan.

Status saya tergantung, menyebabkan orang mengata orang tua saya. Orang tua saya marah tetapi kemudian tenang kerana kasihankan saya. Saya benar-benar kecewa dan trauma untuk menjalin cinta meskipun hal itu sudah dua tahun berlalu.

Baru-baru ini ada orang merisik dan dia adalah anak kenalan orang tua saya. Perasaan saya bercampur baur kerana tidak pasti mahu menerima atau tidak disebabkan dua pengalaman cinta lalu.

Perlukah saya menerima pinangan dan berkahwin dengan lelaki tidak pernah saya kenal?

DHUHA, Kota Samarahan, Sarawak

Tutup kisah lama dan buka buku baru untuk memulakan perjalanan cinta lebih membahagiakan. Saudari berhak memberi peluang diri untuk bahagia dengan membuka ruang hati saudari untuk disayangi.

Melupakan kelukaan lama tidak salah tetapi menyisihkan diri daripada mereka yang sudi menyayangi bukan sesuatu yang baik. Pada Dang Setia, besar hikmah kegagalan cinta lalu kerana mungkin calon pasangan dalam penjodohan kali ini jauh lebih baik.

Justeru saranan Dang Setia, tenangkan emosi dan lepaskan perasaan terhadap pasangan lalu dengan menjalin hubungan baru. Mengubah sesuatu yang negatif kepada positif, seperti mengalihkan kasih tidak kesampaian kepada mereka yang sudi, dapat membantu mengembalikan perasaan manis percintaan.

Selain itu, yakin dalam jodoh ditetapkan Allah SWT. Pada pendapat Dang Setia, itu rasanya lebih berkat. Mana tahu selepas menerima calon kenalan ibu, saudari akan memperoleh kebahagiaan yang hilang sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 1:22 AM