Oleh Dang Setia

Saya berpisah dengan suami sejak dua tahun lalu kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Setelah berpisah, saya lebih tenang dan kami bergilir-gilir menjaga anak.

Saya berpisah kerana tidak mahu makan hati dengan sikap suami, selain mahu mencari ketenangan yang hanya diperoleh sebaik berpisah. Saya tiada masalah menanggung anak kerana mempunyai kerjaya terjamin selain kediaman sendiri.

Cuma baru-baru ini bekas suami mencadangkan kami rujuk kembali. Saya enggan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Suami bukan saja mendesak, malah mahu menjaga anak sepenuhnya. Saya bimbang anak tidak pulang ke rumah saya kerana dilarang bapa mereka.

Anak saya tiga orang dan yang bongsu berumur 12 tahun. Anak bongsu mengadu bekas suami tidak membenarkan mereka pulang ke rumah saya. Katanya, bekas suami saya menceritakan perihal buruk mengenai saya dengan harapan mereka tidak sukakan saya.

Namun anak saya sudah besar dan tidak makan hasutan serta enggan menemui bapa mereka. Ini menyebabkan bekas suami marah dan mengugut tidak akan membiarkan saya hidup bahagia.

Pada pandangan Dang Setia, apa perlu saya lakukan untuk mengelak berlaku perkara tidak baik akibat dendam bekas suami?

UMAI, Sungai Petani, Kedah

Penceraian tidak seharusnya mewujudkan ketegangan antara puan dan bekas suami. Selepas berbelas-belas tahun hidup sebumbung, mengapa mahu mencipta ruang permusuhan? Bagi Dang Setia, sikap suami mendesak puan supaya menerimanya kembali bukan sesuatu yang wajar.

Meskipun Dang Setia tidak jelas mengenai punca penceraian puan dan suami, adalah lebih baik puan berbincang untuk meleraikan kekusutan. Mohon suami tidak membabitkan anak dalam konflik berkenaan.

Anak seharusnya mengenang perkara baik mengenai ibu bapanya. Terutama ketika ini anak mula faham setiap perkara dilihat, justeru ibu mahupun bapa perlu menunjukkan contoh baik dari segi percakapan mahupun perlakuan.

Tindakan suami mengalihkan rasa tidak puas hati terhadap anak mahupun mencetuskan provokasi dengan menghalang anak tinggal dengan puan bukan perkara wajar.

Justeru meskipun dalam situasi ini bekas suami mencetuskan rasa kurang selesa, puan perlu mengambil langkah ‘berlembut’ dan kaedah diplomasi untuk membantu bekas suami faham. Minta bekas suami menghormati privasi dan ruang ketenangan yang puan nikmati ketika ini.

Minta dia fikirkan, andai puan terus dibebani sejarah silam yang tidak menggembirakan, adakah itu perkara baik untuk dia kembali bersatu dengan puan? Puan perlu ambil pendekatan lebih santai dan jangan provokasi dengan keras.

Namun jika situasi mendesak, contohnya ugutan suami mampu mengancam keselamatan puan, pada Dang Setia, cuba rujuk dengan pihak berkuasa untuk elak kejadian buruk mahupun menjadi mangsa keganasan domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 12:25 AM