PEMAIN PKNS  FC idam lakar sejarah baru kelab.
PEMAIN PKNS FC idam lakar sejarah baru kelab.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Hadir sebagai pasukan berstatus kelab tidak menggentarkan PKNS FC apabila menentang Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia Selasa depan.

Kemampuan kelab kendalian E Elavarasan mengejutkan banyak pihak apabila muncul juara Kumpulan D mengatasi juara bertahan Pahang, PDRM dan Pulau Pinang jelas tidak boleh diperkecilkan.

“Moral pemain sangat tinggi untuk melakar sejarah baru kelab. Pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir seperti pada edisi 2013.

“Namun, kali ini kami mahu melangkah lebih jauh. Semua tonggak bebas daripada penggantungan dan kecederaan, jadi kami akan memberikan tentangan sengit kepada Kedah,” kata kapten PKNS Shahrul Azhar Ture.

PKNS melakar kejutan apabila menempah tiket ke suku akhir walaupun ramai yang menjangkakan kelab bawahan dalam saingan Liga Super itu tidak mampu melangkah jauh.

Bagaimanapun, Shahrul mengakui lawan mempunyai kelebihan dalam aspek sokongan pemain ke-12 berbanding PKNS FC.

“Mereka sudah beberapa kali memenangi Piala Malaysia dan dalam proses untuk kembali bangkit dalam kancah domestik, jadi kami perlu berhati-hati.

“Jika mahu ke separuh akhir, kami perlu manfaatkan aksi suku akhir pertama di Stadium Darulaman. Kami perlu mencari kelebihan gol di tempat lawan untuk mencerahkan peluang untuk aksi timbal balik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:31 AM