ELAVARASAN (dua dari kanan) terpaksa direhatkan pengurusan PKNS, berkuat kuasa kelmarin.
ELAVARASAN (dua dari kanan) terpaksa direhatkan pengurusan PKNS, berkuat kuasa kelmarin.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keputusan drastik pengurusan tertinggi PKNS FC merehatkan pengendali pasukan E Elavarasan kelmarin nyata mengejutkan seluruh pemain skuad Semut Merah yang sudah bersiap sedia untuk mengharungi aksi Kumpulan B Piala Malaysia berdepan FELDA United di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ketua pasukan PKNS FC, Shahrul Azhar Ture berkata, walaupun berita itu hanya diketahui 48 jam sebelum aksi kedua itu berlangsung, dia percaya fokus rakan sepasukannya tidak akan terganggu dengan isu berkenaan.

“Kami dimaklumkan jurulatih (Elavarasan) akan direhatkan buat sementara waktu saja. Memang sedikit terasa kehilangan beliau kerana kami sudah lama bersamanya sejak dari Liga Per dana.

“Bagaimanapun, perjuangan kami tetap harus diteruskan dengan fokus utama adalah mencapai kemenangan pada aksi menentang FELDA untuk membolehkan kami meraih tiga mata pertama dalam Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi kenyataan dikeluarkan kelab itu, menyaksikan naib juara Piala FA musim lalu itu, mengambil langkah drastik dengan merehatkan serta-merta Elavarasan susulan prestasi hambar ditampilkan skuad itu musim ini.

Tempatnya akan dipangku penolong jurulatih, Adam Abdullah sehingga pengurusan pasukan mengenal pasti calon pengganti sesuai.

Kenyataan itu juga menyatakan PKNS menyasarkan layak sekurang-kurangnya ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

Elavarasan, 52, dilantik sebagai ketua jurulatih PKNS pada 2015 dan berjaya membawa Semut Merah kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas menduduki tangga kedua Liga Perdana pada 2016.

PKNS kini menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super dengan kutipan 11 mata selepas beraksi 12 perlawanan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 4:39 AM