NAJIB memandang rakan sejawatnya Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) ketika Mesyuarat Kemuncak Asean ke-28 dan 29, semalam.
NAJIB memandang rakan sejawatnya Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) ketika Mesyuarat Kemuncak Asean ke-28 dan 29, semalam.

Vientiane: Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam di Pusat Konvensyen Nasional di sini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.

Najib juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatnya dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog di luar sidang kemuncak berkenaan.

Ini adalah Sidang Kemuncak ASEAN yang pertama diadakan selepas kewujudan Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015 dan selepas ‘ASEAN 2025: Maju Bersama (Visi ASEAN 2025)’ diterima pakai, kedua-duanya dimuktamadkan ketika Malaysia menjadi pengerusi perkumpulan itu.

Memandangkan ini adalah tahun pertama bagi Komuniti ASEAN, tema sempena Laos sebagai pengerusi ialah ‘Turning Vision Into Reality for a Dynamic ASEAN Community’ (Menukarkan Visi Menjadi Realiti bagi Komuniti ASEAN Dinamik) adalah tepat pada masanya dan sesuai memandangkan ASEAN sedang berusaha untuk menjadikan aspirasi dan visinya menjadi realiti.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri bersama-sama pemimpin ASEAN lain akan turut menghadiri mesyuarat ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan mesyuarat ASEAN Campur satu dengan rakan dialog, termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Australia, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laos memecahkan tradisi apabila memutuskan untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 secara berturut-turut pada tahun ini tidak seperti sebelumnya dan di Malaysia pada tahun lalu, satu sidang kemuncak diadakan pada April dan satu lagi pada November. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 11:11 AM