Datuk Seri Najib Razak bersalaman Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong sebagai simbol penyerahan Pengerusi ASEAN 2016 kepada negara itu. FOTO Hairulazim Mahmud
Datuk Seri Najib Razak bersalaman Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong sebagai simbol penyerahan Pengerusi ASEAN 2016 kepada negara itu. FOTO Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa negara anggota ASEAN menggandakan usaha mereka bagi memastikan kejayaan pembentukan Komuniti ASEAN yang ditandatangani pemimpin perkumpulan itu hari ini.

“Dengan menjadi Komuniti ASEAN, ini tidak bermakna yang kita telah sampai ke pengakhiran proses pembinaan rantau ini.

“Kini kerja keras untuk bersepadu dan berintegrasi sepenuhnya di bawah tiga tonggak komuniti perlu digandakan,” kata Najib, pengerusi ASEAN 2015 semasa menyempurnakan penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

Beliau berkata, pencapaian dan pembentukan Komuniti ASEAN yang terdiri daripada politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, tidak akan dapat dicapai dalam semalaman.

“Sebab itu kami memberikan diri kami ruang dan masa untuk mencapai matlamat-matlamat ini, dan menetapkan 2025 sebagai sasarannya,” katanya dan menambah Komuniti ASEAN akan memulakan perjalanan baharu pada 1 Jan 2016.

Najib menegaskan pemimpin ASEAN amat serius terhadap pelaksanaan Komuniti ASEAN (2009-2015) dengan menggariskan pelbagai perancangan dan program.

“Menteri-menteri ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN, semua organ ASEAN dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan semua sumber yang perlu bagi memastikan langkah-langkah yang telah kami persetujui dilaksanakan.

“Setiausaha Agung akan memantau kemajuan dan melaporkan secara tahunan kepada Sidang Kemuncak ASEAN. Objektif kita ialah untuk membina Komuniti berwawasan yang memainkan tanggungjawab dan peranan konstruktif di peringkat global,” katanya.

Berkongsi harapannya, Najib berkata, Komuniti itu perlu berdaya maju, aman, terjamin dan responsif terhadap keperluan rakyat mereka dan manfaat bersama yang akan berasaskan kepada kebebasan dan keadilan sosial.

Beliau berkata Komuniti juga perlu menyerapkan nilai-nilai toleransi dan kesederhanaan dan juga berkongsi semangat kekitaan, satu identiti dan destini.

“Ini bukan cita-cita kecil. Saya yakin, bagaimanapun, bahawa secara bersama-sama kita akan mencapai ini.

“Dan secara bersama-sama kita akan mengotakan ikrar kita untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat ASEAN, dan merealisasikan ASEAN yang benar-benar utamakan rakyat dan demi rakyat,” katanya.

Mengenai Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini, Najib berkata ASEAN tetap berpegang kepada janji mereka untuk mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau menerusi kesederhanaan, dialog dan pertukaran konstruktif.

Mengenai ekonomi, Najib berkata ASEAN telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi mengagumkan dalam tempoh 10 tahun lepas, dan disebalik kesulitan dihadapi ekonomi global, rantau ini masih menjangkakan akan mencatatkan pertumbuhan amat sihat pada kadar 4.9 peratus tahun depan.

“Kita telah memperkukuhkan pertalian persaudaraan kita dengan saling membantu antara satu sama lain apabila berlaku bencana kemanusiaan atau bencana alam. Dan kita telah meletakkan ASEAN pada laluan yang akan menyaksikan Komuniti kita akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia dalam beberapa dekad akan datang.

“Tiada daripada ini dapat dilakukan tanpa komitmen dan sokongan berterusan daripada semua negara anggota ASEAN, serta daripada semua Rakan Dialog kita,” katanya.

Najib turut menegaskan bahawa ASEAN telah membuktikan kepada dunia bahawa blok negara-negara ini boleh menjadi perkumpulan serantau paling kompetitif di Asia Pasifik dan bakal menjadi kuasa di pentas antarabangsa.

Perdana Menteri kemudian menyerahkan tampuk kepengerusian ASEAN kepada Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong.

“Saya percaya di bawah kepimpinan berwibawa tuan, Komuniti ASEAN akan terus berkembang maju, saya beri jaminan kepada tuan akan sokongan tidak berbelah-bahagi Malaysia apabila tuan menjadi Pengerusi pada tahun depan,” katanya.

Selain pembentukan Komuniti ASEAN, pemimpin ASEAN hari ini turut menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Maju Bersama, dokumen yang menggariskan hala tuju Komuniti itu bagi 10 tahun akan datang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 7:37 PM