MUHAINI kini lebih banyak bersabar,  bertenang ketika melakukan tugasan elakkan tekanan.
MUHAINI kini lebih banyak bersabar, bertenang ketika melakukan tugasan elakkan tekanan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Gaya hidup yang diamalkan sama seperti wanita ber­kerjaya lain yang sibuk dengan urusan tugasan di pejabat. Pergi pagi dan pulang petang hingga membuatkan wanita ini sukar mengikut rutin makan yang betul setiap hari.

Hari demi hari berlalu seperti biasa sehingga dia dikejutkan dengan berita sedih daripada doktor mengenai kesihatannya yang dirasakan mampu mengubah keseluruhan kehidupannya.

Namun, atas sokongan dan semangat diberikan ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai, wanita tabah ini mampu menghadapi dugaan dengan penuh kesabaran.

Muhaini Mustafa, 46, didiagnos menghidap kanser pada 2013 ketika umat Islam meraikan sambutan Aidiladha.

Pada mulanya, dia mengalami perut kembung yang menyebabkannya berasa tidak selesa setiap kali datang haid. Masalah berkenaan berlaku selepas dia menjalani pembedahan membuang sista (cyst) pada 2011.

Pengesahan kehadiran sista di dalam rahim berlaku selepas melahirkan anak sulung iaitu 10 tahun selepas dia berkahwin.

“Ketika itu, saya tidak mengalami sakit yang teruk dan menganggap gejala sakit yang dirasai normal bagi wanita yang datang haid.

“Namun, selepas doktor mengenal pasti terdapat sista pada ovari dan melakukan pembedahan untuk membuangnya, saya mengalami gejala perut kembung yang melampau setiap kali datang haid.

“Sampai satu tahap, saya sakit yang keterlaluan di bahagian perut. Keadaan perut seperti wanita hamil dan mengeras selain mengalami perut kembung yang melampau.

“Selepas itu, saya segera mendapatkan pemeriksaan doktor dan tanpa disangka saya perlu melakukan pembedahan dengan segera jika mahu selamat,” katanya.

Ujarnya, selepas melakukan imbasan, doktor mengesahkan terdapat tumor sebesar 12 sentimeter. Pada masa sama, doktor turut melakukan biopsi untuk memastikan pe­nyakit yang dialami dan mengesahkan Muhaini menghidap kanser ovari tahap 3C.

Keadaan yang dialami itu terlalu bahaya bagi dirinya untuk menunggu lama kerana bimbang tumor di dalam ovari akan pecah dan menyebabkan kematian.

Doktor menasihatkannya untuk melakukan pembedahan membuang tumor dengan segera walaupun kos yang perlu ditanggung agak mahal iaitu kira-kira RM25,000. Bukan hanya tumor, doktor perlu membuang keseluruhan ovari kerana ia sudah rosak disebabkan masalah sista dan sel kanser yang merebak.

Biarpun sedih, Muhaini perlu meneruskan rawatan kemoterapi sebanyak enam ulangan selepas sebulan menjalani pembedahan. Pada mulanya memang agak membimbangkan untuk dia melakukan rawatan kemoterapi disebabkan kesannya kepada pesakit melalui pembacaan dan pengalaman rakan lain.

“Namun, agak berbeza bagi saya kerana pada hari ketiga selepas rawatan berkenaan, saya hanya rasa loya, itupun selepas tubuh bertindak balas dengan ubat. Biarpun lidah ada sedikit kebas, ia tidak mengubah selera makan saya. Bagi mengatasi masalah loya, saya banyak minum air kosong iaitu kira-kira tiga liter sehari.

“Pada masa sama, saya turut mengamalkan pengambilan jus buah-buahan atau makan buah segar bagi mengurangkan rasa loya,” katanya.

Melalui pengambilan diet yang sihat dan seimbang, dia mampu menjalankan tugasan di pejabat ketika dalam proses ula­ngan rawatan kemoterapi. Dia lebih suka bekerja dan ke pejabat berbanding hanya duduk di rumah bagi mengelakkan tekanan akibat penyakitnya itu.

Amal pemakanan sihat

Sepanjang melakukan kemoterapi, dia ­hanya mengambil hidangan berkhasiat kerana ia penting bagi memulihkan semula sel darah merah agar tidak mengganggu ula­ngan rawatan yang perlu dihabiskan.

Muhaini akui sangat bersyukur kerana tergerak hati untuk mengikuti kelas pemakanan sihat anjuran My Ideal Weight yang diasaskan oleh Nurul Ashikin Md Nasir sebelum disahkan menghidap kanser ovari.

Ia sedikit sebanyak membantu dirinya untuk mengetahui hidangan yang boleh diambil untuk mengembalikan kesihatan dan memulihkan sel badan dalam jangka masa lebih cepat.

Menariknya, pengasas program berkenaan banyak memberi panduan kepada dirinya mengenai jenis makanan yang perlu diamalkan. Justeru, selesai rawatan kemoterapi, barulah Muhaini berpantang mengambil sumber hidangan seperti makanan laut dan daging merah.

“Tiga kali kelas saya sertai dan ia banyak membantu. Malah, saya juga berjaya mengubah cara pengambilan sumber bahan mentah seperti ayam dan sayuran organik kerana ia lebih selamat daripada bahan kimia.

“Bagi saya, untuk menjalani rawatan kemoterapi, badan perlu kuat manakala keadaan darah merah dan darah putih perlu stabil, barulah boleh lakukan rawatan ulangan yang seterusnya.

“Selepas tamat rawatan kemoterapi, saya meneruskan amalan pengambilan minuman jus yang dibuat sendiri menggunakan campuran buah dan sayuran segar sebagai makanan tambahan semula jadi,” kata­nya.

Biarpun pada mula­nya agak sukar menerima rasa minuman berjus campuran buah dan sayur segar, demi kesihatan dia perlu biasakan diri dengan cara pemakanan yang sihat itu.

Misalnya, Muhaini banyak mengambil ubi bit dan nanas selepas tamat rawatan kemoterapi selain menambah halia atau kunyit ke dalam minuman kerana ia kaya dengan kandungan antioksidan yang tinggi.

Selain mengamalkan minuman berjus, dia juga memastikan setiap hidangan yang diambil mesti dijamah bersama sayur atau buah bagi memastikan sajian seimbang.

Kini, dia merasai perbezaan yang ketara berbanding sebelum ini selepas mengubah gaya pemakanan yang lebih berkhasiat. Pada masa sama, dia juga berazam untuk menurunkan berat badan berlebihan untuk mendapatkan berat yang lebih ideal.

Bukan hanya mementingkan aspek pemakanan, dia turut melakukan senaman mengikut kemampuan dirinya sendiri seperti berjalan seminggu sekali bersama rakan lain yang pernah menghidap kanser.

Biarpun kini dia sudah menghabiskan ulangan rawatan kemoterapi, setiap tiga bulan Muhaini perlu melakukan pemeriksaan bagi memastikan sel kanser tidak menyerang kembali.

“Selain sokongan ahli keluarga, kita perlu menjaga pengambilan makanan berkhasiat, kurang­kan tekanan, lakukan senaman, sentiasa gembira dan berfikiran positif untuk mengembalikan kesihatan.

“Memang saya akui, sebelum ini agak tertekan dengan tugasan di pejabat. Namun, selepas pulih daripada kanser ovari yang dialami saya perlu bijak mengawalnya.

“Kini, saya lebih banyak bersabar dan bertenang ketika melakukan tugasan ataupun berada di rumah bagi mengelakkan rasa tertekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 10:00 AM