KANSER ketiga yang sering dihadapi wanita di Malaysia selepas kanser payudara dan kanser usus.
KANSER ketiga yang sering dihadapi wanita di Malaysia selepas kanser payudara dan kanser usus.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MENURUT Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) terdapat 1,836 kes kanser ovari terbaru di Malaysia pada tahun 2020, sekali gus menjadikannya kanser ketiga yang sering dihadapi wanita di negara ini selepas kanser payudara dan kanser usus.

Ia dikatakan lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia antara 60 hingga 65 tahun dengan lebih 50 peratus pesakit didiagnos sudah berada di tahap tiga atau empat kanser berkenaan.

Persoalannya, mengapa penyakit pembunuh itu tidak dapat dikesan pada peringkat awal?

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Wong Yen Shi berkata, hanya 20 peratus daripada kes kanser ovari dikesan pada tahap awal.

Ini kerana kata Dr Yen Shi, masih belum ada saringan atau ujian yang dicipta untuk rawatan awal kanser itu.

"Buat masa ini, imbasan transvaginal dan ujian penanda tumor CA 125 digunakan untuk mengesan kanser ovari tetapi dengan limitasi.

"Imbasan transvaginal boleh mengesan sebarang tisu bermasalah tetapi terdapat sedikit kesukaran untuk membezakan tumor benigna (sel tidak berkanser) daripada tumor malignan (sel berkanser).

IMBASAN transvaginal dan ujian penanda tumor CA 125 digunakan untuk mengesan kanser ovari tetapi dengan limitasi.
IMBASAN transvaginal dan ujian penanda tumor CA 125 digunakan untuk mengesan kanser ovari tetapi dengan limitasi.

"Manakala ujian penanda tumor CA 125 adalah sejenis ujian yang baik digunakan untuk memantau rawatan tetapi ia tidak bertujuan untuk mengesan kanser," katanya.

Dr Yen Shi berkata, antara simptom kanser ovari yang perlu diawasi ialah kembung perut, ketidakselesaan perut, kekerapan membuang air kecil, sembelit, rasa cepat kenyang, penurunan berat badan, keletihan dan sakit belakang.

Keadaan itu menyebabkan kanser ovari boleh disalah anggap sebagai benigna tumor ovari, uterine fibroid, endometriosis dan sindrom pra-haid lain.

Katanya, walaupun ia adalah satu cabaran untuk mengesan kanser ovari, namun terdapat faktor risiko yang menyebabkan seseorang wanita harus berwaspada.

Antaranya termasuklah sejarah ahli keluarga yang mempunyai kanser payudara, ovari atau usus, sindrom kanser yang boleh diwarisi keluarga seperti gen BRCA dan sindrom Lynch seperti peningkatan usia serta keadaan berat badan berlebihan atau obesiti.

 JADIKAN ujian saringan kesihatan serta saringan diabetes, kolesterol, kesihatan jantung, payudara dan serviks sebagai rutin.
JADIKAN ujian saringan kesihatan serta saringan diabetes, kolesterol, kesihatan jantung, payudara dan serviks sebagai rutin.

"Selain itu, faktor risiko lain termasuklah merokok, pendedahan kepada asbestos, wanita yang menjalani terapi penggantian hormon (HRT), wanita yang tidak pernah melahirkan anak, wanita yang melahirkan anak pada usia lewat, datang haid awal dan lambat menopaus.

"Jadikan ujian saringan kesihatan dan saringan diabetes, kolesterol, kesihatan jantung, payudara dan serviks sebagai rutin supaya anda tahu keadaan diri anda.

"Amalkan juga pemakanan sihat, bersenam secara konsisten, menjaga kesihatan mental, mendapatkan tidur secukupnya dan kawal tekanan untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh," katanya.

AMALKAN pemakanan sihat dan bersenam secara konsisten.
AMALKAN pemakanan sihat dan bersenam secara konsisten.

Sementara itu, peningkatan statistik kanser adalah petanda penting bahawa wanita harus mengambil berat dan mengutamakan kesihatan mereka di samping keluarga.

Kesihatan adalah aspek paling dan sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara pada bulan lalu, pusat perubatan berkenaan turut menyediakan ujian saringan kanser payudara dan ujian saringan kesihatan wanita.

SMCV turut mengambil bahagian dalam kempen Sunway Healthcare Group dalam menyediakan ujian mamogram percuma untuk pesakit yang layak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 7:00 AM