LINGARD (kiri) mengasak pemain Stoke Peter Crouch (tengah) pada aksi di Old Trafford.
LINGARD (kiri) mengasak pemain Stoke Peter Crouch (tengah) pada aksi di Old Trafford.

London: Kemenangan 3-0 Manchester United ke atas Stoke City kelmarin membuktikan anak buah pengurus Louis van Gaal sudah kembali menemui kebebasan dicari selama ini, kata pemain sayap Jesse Lingard.

Kejayaan dengan jumlah jaringan sebegitu adalah yang kedua menyaksikan United meledak tiga gol selepas menumbangkan Derby County 3-1 pada saingan Piala FA, Jumaat lalu.

Lingard yang menjaringkan gol pertama ketika menentang Stoke, turut berkata keputusan itu melegakan mereka selepas berdepan kritikan gara-gara aksi kurang memberangsangkan.

Van Gaal diejek penyokong selepas tewas 0-1 kepada Southampton, tetapi mereka bangkit mengubah taktik bagi membolehkan lebih banyak serangan seperti yang biasa diamalkan sebelum ini.

“Kini kami lebih bebas dan mempunyai lebih banyak tenaga dalam pasukan. Kami pasti dapat menggembirakan penyokong jika terus bermain seperti ini,” kata Lingard.

“Beban di bahu kami seolah-olah sudah hilang kerana boleh menumpukan perhatian terhadap bola sepak.”

Pemain berusia 23 tahun itu enggan menyalahkan Van Gaal selepas beberapa keputusan mengecewakan hingga menyaksikan United terkeluar dari kelompok ke Liga Juara-Juara.

Red Devils menduduki tangga kelima liga dan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Arsenal dan ketika Lingard mengaku terlalu sukar baginya menerima ejekan penyokong, dia tegas mengatakan setiap pemain tidak boleh membiarkan perkara berkenaan mempengaruhi aksi mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 6:08 AM