LINGARD (kanan) masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama dengan United musim ini. FOTO AFP
LINGARD (kanan) masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama dengan United musim ini. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus West Ham, David Moyes berkata beliau sangat simpati dengan Jesse Lingard selepas pemain tengah itu kurang diturunkan di Manchester United.

Lingard, 28, menikmati saat manis ketika dipinjamkan kepada The Hammers musim lalu, dengan meledak sembilan gol dalam 16 penampilan sekali gus membantu kelab London itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat keenam.

Dia bagaimanapun, masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama dengan United musim ini, hanya masuk sebagai pemain gantian sebanyak lapan kali dan berulang kali dikaitkan akan kembali ke pangkuan The Hammers.

"Saya tidak boleh bercakap mengenainya kerana dia adalah pemain Manchester United dan tiada hak buat saya memperkatakannya.

"Bagaimanapun, dia sangat bagus buat kami. Jesse tahu apa yang kami fikirkan mengenainya. Kekecewaan saya terhadap Jesse ialah, saya rasa dia pemain bola sepak yang berbakat dan dia tidak bermain

"Dia memainkan peranan penting pada separuh baki musim lalu namun. Bagaimanapun, anda harus memberi pujian kepada pemain di sini, mereka dapat melupakan selepas ketiadaan Jesse," kata Moyes yang juga bekas pengendali United.

The Hammers menuju saingan hujung minggu ini dengan menduduki tangga keempat liga, satu mata mengatasi Arsenal dan tiga mata meninggalkan United, menjelang aksi bertemu pendahulu liga, Chelsea malam ini.

Ia jauh berbeza daripada pergelutan penyingkiran yang dihadapi Moyes ketika beliau mengambil alih tugas pada Disember 2019, dengan West Ham sudah mara ke pusingan 16 terakhir kelayakan Liga Europa musim ini dan Liga Juara-Juara kini menjadi cita-cita yang realistik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 9:57 AM